Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Universiti China penghubung persahabatan dua negara

    YINCHUAN – Semasa doktor Dwarkanath S. Kotnis bekerja di China dari 1938 hingga 1942, negara itu sedang bergelut menentang ‘pandemik’ seluruh dunia yang dipanggil fasisme.

    Lapan dekad kemudian, ketika dunia sedang memerangi satu lagi krisis yang dicetuskan oleh pandemik COVID, semangat antarabangsa yang hebat itu masih kekal dalam sebuah universiti perubatan di Yinchuan, ibu kota Wilayah Autonomi Ningxia Hui barat laut China.

    Berasal dari Mumbai di India, Kotnis berkhidmat sebagai doktor tentera semasa Perang Penentangan Rakyat China terhadap Pencerobohan Jepun. Terkenal dengan dedikasinya, Kotnis telah dianggap sebagai wira revolusioner di China dan model untuk persahabatan dan kerjasama dua hala.

    Dia meninggal dunia di sebuah kampung di Pergunungan Taihang di utara China pada tahun 1942 ketika berusia 32 tahun.

    Kira-kira 900km dari Pergunungan Taihang terletak Universiti Perubatan Ningxia, di mana lebih 300 pelajar India telah menamatkan pengajian sepanjang dekad yang lalu.

    Ankita (tengah), seorang pelajar India Universiti Perubatan Ningxia, berinteraksi dengan kanak-kanak Cina semasa lawatannya di sebuah sekolah rendah tempatan di Wilayah Autonomi Ningxia Hui, barat laut China.
    Keval Maram Bala (dua, kiri) pelajar India Universiti Perubatan Ningxia, bergambar bersama pelajar lain semasa kelas. – Xinhua
    Kelihatan Ankita menjalani pembelajaran pebedahan. – Xinhua

    Sebagai salah satu daripada 45 universiti di China yang diberi kuasa untuk mengajar pelajar asing perubatan klinikal dalam bahasa Inggeris, Universiti Perubatan Ningxia telah mendaftarkan lebih 600 pelajar luar negara sejak menubuhkan sekolah pendidikan antarabangsa, sekolah perubatan yang diiktiraf WHO pada 2012.

    Kebanyakan pelajar berasal dari Asia Selatan dan Afrika, dan memiliki MBBS (sarjana muda perubatan dan sarjana muda pembedahan). Beberapa daripada mereka telah memperoleh ijazah sarjana dan juga kedoktoran, menurut Shan Bin, ketua sekolah berkenaan.

    “Selepas graduan pulang ke negara mereka sendiri, lebih 65 peratus menjadi doktor berdaftar yang bekerja di hospital tempatan,” kata Shan.

    Dengan wabak COVID, beberapa graduan telah turun padang membantu membendung penularan wabak itu.

    Ketika wabak merebak di India pada tahun 2020, sekurang-kurangnya tiga graduan dari sekolah itu diberi penghormatan oleh kerajaan atau pihak berkuasa tempatan di India atas perkhidmatan mereka, di mana seorang meniggal dunia ketika menjadi pasukan barisan hadapan merawat pesakit.

    Keval Bala Maram, 26, dari selatan India, telah belajar dan mengamalkan pembedahan perubatan selama lapan tahun di China, yang pertama di Zhengzhou, Wilayah Henan dan kini di Yinchuan.

    “Saya masih belajar, kerana perjalanan saya masih jauh untuk menjadi pakar bedah yang sangat baik. Saya masih perlu belajar banyak di sini daripada guru dan mentor saya,” kata Maram.

    Ankita, dari New Delhi, telah berada di sini selama enam tahun, mengikuti ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan klinikal.

    “Belajar di sini bagus, saya sangat suka berada di hospital kerana saya boleh belajar seberapa banyak yang boleh dan sebanyak yang mereka boleh ajar kepada saya. Mereka benar-benar bersedia untuk mengajar. Jadi saya sangat seronok berada di hospital lebih daripada di mana-mana,” kata pemuda berusia 25 tahun itu mengenai pengalamannya belajar di Yinchuan.

    Sekolah ini menyediakan pelajar dengan suasana kosmopolitan sambil membantu mereka belajar sebanyak mungkin tentang China.

    “Kami berhasrat untuk memupuk lebih ramai individu berbakat dalam membangunkan hubungan antara rakyat China dan negara lain,” kata Shan. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...