Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    10 pemancing, tiga kru bot hilang ditemukan selamat

    KUALA TERENGGANU, 1 JULAI – Seramai 10 pemancing dan tiga kru sebuah bot yang dilapor hilang di sekitar pelantar minyak Tapis di perairan negeri ini Rabu lepas, ditemukan selamat hari ini.

    Pegawai Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Lt Komander Maritim Mohd Arizan Hakimi Mohd Zain berkata bot berkenaan dijumpai pada 1.40 tengah hari di sekitar pelantar minyak Cendor, kira-kira 80 batu nautika dari Kuala Terengganu.

    “Bot berkenaan yang mengalami kerosakan enjin ditemukan oleh kapal pembekal barangan keperluan ke pelantar minyak.

    “Ketika ditemukan, kesemua mangsa dalam keadaan baik dan kemudian diberi makan serta minum oleh kru kapal itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada ahli keluarga mangsa di Pejabat APMM Terengganu di sini hari ini.

    Mohd Arizan Hakimi berkata proses membawa pulang kesemua pemancing dan kru bot berusia 32 hingga 52 tahun itu sedang dilakukan menggunakan kapal KM Redang yang dijangka tiba di Jeti APMM Terengganu 10 malam ini.

    Bagaimanapun katanya proses membawa pulang mereka turut bergantung kepada keadaan cuaca di tengah laut.

    “Kita anggarkan ia mengambil masa lima hingga enam jam. Kita akan cuba bawa balik cepat kerana cuaca sebelah malam agak buruk,” katanya.

    Sementara itu, ibu seorang daripada pemancing berkenaan, Rahmah Abdullah, 72, berkata beliau bersyukur apabila dimaklumkan anak sulungnya, Mohd Faizal Ismail, 47, dan rakan-rakannya ditemukan selamat.

    Menurut warga emas itu, Mohd Faizal sepatutnya pulang ke Melaka pada Rabu namun tidak muncul menyebabkan mereka sekeluarga risau. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...