Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    141 polis konstabel Lelaki Skuad 1/2021 tamat latihan

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Seramai 141 orang rekrut polis konstabel lelaki skuad 1/2021 telah berjaya menamatkan latihan asas selama 12 bulan dan diraikan dengan upacara perbarisan tamat latihan di Padang Kawad Besar Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada rekrut terbaik ialah Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

    Awang Ajman dalam ucapannya berkata, disiplin merupakan elemen penting dalam kehidupan seorang anggota polis.

    Sebagai agensi penguatkuasaan yang utama di negara ini, jelasnya, masyarakat akan sentiasa melihat warga PPDB sebagai individu-individu yang mempunyai tahap disiplin sangat tinggi.

    Awang Ajman menyampaikan hadiah kepada pelatih terbaik dalam akademik dan kegiatan luar.
    Tetamu kehormat memeriksa perbarisan kawalan kehormatan.

    “Setiap warga pasukan mestilah dilihat sebagai individu contoh kepada masyarakat yang selayaknya digelar sebagai seorang anggota polis. Warga pasukan sememangnya tidak patut terlibat dalam mana-mana anasir negatif apatah lagi terlibat dalam kegiatan-kegiatan jenayah.

    “Janganlah jadi anggota yang mencemarkan nama dan imej pasukan,” tegas beliau.
    Menurutnya lagi, kepesatan perkembangan teknologi sudah setentunya akan sentiasa memberikan cabaran baharu kepada pasukan dan beliau pasti, PPDB telah mempunyai perancangan yang rapi dalam melengkapkan warga pasukan dalam menangani jenayah-jenayah era baharu seperti ini.

    Dengan tamatnya latihan yang dijalani, beliau berharap agar para pelatih akan memulakan langkah kerjaya dalam PPDB dengan cemerlang dan akan terus mengekalkan disiplin serta amanah di sepanjang menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anggota polis.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada rekrut terbaik dalam akademik dan kegiatan luar, Rekrut 6972 Zulfadhli yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

    Rekrut 6972 Zulfadhli berkata, beliau mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah terpilih sebagai pelatih terbaik dalam akademik dan kegiatan luar.

    Menurutnya, ia memberikan motivasi kepada diri beliau untuk lebih bersemangat dalam menjalankan tugas kepolisian nanti.

    Beliau turut mengongsikan, sepanjang menjalani latihan asas kepolisian di Pusat Latihan Polis, pelbagai cabaran dan rintangan beliau hadapi terutama sekali dalam hal pengurusan masa di mana ia telah banyak membentuk jati diri beliau dan menjadikan diri beliau lebih berdisiplin daripada sebelumnya.

    Menyentuh mengenai menjalani latihan semasa negara dilanda dengan wabak COVID-19, beliau bersama semua pelatih telah dapat mengikuti semua pelajaran dan latihan asas yang telah diberikan, sama ada dalam pelajaran undang-undang dan kegiatan luar dengan baik.

    Kemuncak upacara adalah perbarisan berjalan lalu dalam masa gerak perlahan dan cepat serta mara ke hadapan.

    Atur cara kemudiannya diteruskan di Dewan Serba Guna Pusat Latihan Polis di mana tetamu kehormat turut diperkenalkan kepada rekrut-rekrut yang berjaya menamatkan latihan serta bergambar ramai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...