Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    17 ditahan, barang tegahan, wang $46,000 dirampas

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JKED

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Seramai 17 orang warga tempatan, warganegara asing dan penduduk tetap telah ditahan dalam empat gerakan operasi yang dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melibatkan pemeriksaan rumah di Jalan Jaya Negara, Kuala Belait, kawasan Kampung Beribi dan kawasan Jalan Berakas, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan JKED, hari ini, tiga operasi gerakan telah dijalankan pada 7 Jun di mana hasil gerakan operasi pertama dan kedua di dua buah rumah di kawasan Jalan Jaya Negara, Kuala Belait, telah berjaya menahan lima lelaki warga asing dan seorang penduduk tetap berumur lingkungan 21 hingga 62 tahun yang memiliki barang-barang tegahan kastam iaitu lima karton, lapan peket dan 28 batang rokok pelbagai jenis.

    Manakala itu, hasil gerakan operasi ketiga ke atas sebuah rumah di kawasan Kampung Beribi, Daerah Brunei dan Muara, JKED telah berjaya menahan empat warga tempatan dan empat warganegara asing yang berumur lingkungan 21 hingga 36 tahun yang memiliki barang-barang tegahan kastam seperti sembilan unit shisha, 15 botol perisa shisha pelbagai jenis, tujuh unit vape, tiga unit pod vape pelbagai jenis serta 33 batang rokok pelbagai jenis.

    Selain daripada itu, turut dijumpai ialah satu kontena bersaiz kecil yang berisi daun-daun kering dipercayai sejenis dadah terkawal.

    Kontena berkenaan dan tahanan telah diserahkan ke Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, hasil gerakan keempat pada 8 Jun lalu, yang melibatkan sebuah rumah di kawasan Jalan Berakas, Daerah Brunei dan Muara telah berjaya menahan tiga warga asing berumur 40 hingga 48 tahun yang memiliki barang-barang tegahan kastam iaitu 128 botol dan 44 tin minuman keras pelbagai jenis, dua unit vape, empat aksesori vape serta wang tunai sejumlah $46,089 yang dipercayai hasil penjualan barang-barang tegahan kastam.

    Kesemua barangan tegahan telah dirampas dan individu-individu terlibat dibawa ke pejabat penguatkuasaan undang-undang untuk siasatan lanjut.

    JKED mengalu-alukan orang ramai untuk berkongsi maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau aktiviti yang menyalahi perundangan kastam dengan menghubungi JKED di talian utama 8714422 dan 8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan.

    Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

    Antara barang tegahan kastam yang dirampas oleh JKED semasa menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa buah rumah di lokasi berasingan.
    Antara barang tegahan yang dirampas oleh JKED dalam operasi dijalankan di beberapa lokasi baru-baru ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...