Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    SMS Brunei Prihatin untuk Anak Yatim dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Sejumlah $220,619 telah berjaya dikumpulkan melalui kutipan derma SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim yang dilancarkan tahun lalu selama tiga bulan bermula 8 April hingga 8 Julai 2021.

    Jumlah berkenaan adalah hasil kutipan daripada pelanggan Datastream Digital (DST) Sdn Bhd berjumlah $177,036 serta sumbangan daripada DST sendiri sebanyak $10,000; pelanggan Progresif Sdn Bhd berjumlah $31,807 dan pelanggan imagine Sdn Bhd berjumlah $1,776.

    Hasil kutipan berkenaan telah diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) semasa majlis pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim 2022 yang berlangsung di VIP Lounge, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Hadir menerima hasil kutipan berkenaan dan menyempurnakan pelancaran SMS Brunei Prihatin pada tahun ini ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Pengiran Siti Rahmah binti Pengiran Haji Salleh; Awang Muhammad Mahdi bin Haji Muhammad Yassin selaku wakil Jabatan Radio Televisyen Brunei; Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hajah Noraini binti Haji Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju dan Ketua Pengurusan Bahagian Operasi DST, Awang Amir bin Pehin Dato Haji Hussin.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan, Hajah Norashikin dan Hajah Noraini bergambar ramai bersama penerima biasiswa anak yatim di bawah KKBS dan BIBD Alaf.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menerima hasil kutipan derma tersebut semasa majlis pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim 2022.

    Hajah Nor Ashikin dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan, setakat Mac 2022 seramai 3,999 orang anak yatim telah berdaftar dengan JAPEM, yang terdiri daripada 2,107 orang lelaki dan 1,892 orang perempuan.

    Mengulas mengenai SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-anak Yatim yang mula diungkayahkan pada 2005, ia merupakan kerjasama antara JAPEM, Jabatan Radio Televisyen Brunei, DST, Progresif dan imagine.

    Sejak diperkenalkan, ia merupakan salah satu kaedah yang amat berkesan dan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai, tahun demi tahun. Semua kutipan yang diterima telah disumbangkan kepada Tabung Anak-Anak Yatim, tambah beliau.

    Menurutnya lagi, SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim lazimnya dilaksanakan pada bulan Ramadan selama 45 hari sahaja, tetapi bermula 2020, ia dilanjutkan selama tiga bulan bagi memberikan peluang dan tempoh yang lebih panjang kepada orang ramai, untuk menyumbang dan mendapat berkat pahala yang berlipat ganda.

    Selain itu, jumlah derma melalui SMS juga ditambah kepada $50 dan $100, selain yang lazimnya $5, $10, $15 dan $20 sahaja.

    “Melalui strategi dan kaedah pembaharuan ini, Alhamdulillah telah mendatangkan respons yang sangat menggalakkan daripada orang ramai,” ujarnya.

    Dalam meningkatkan lagi impak serta objektif tabung anak yatim itu, tambah beliau, KKBS juga telah memperkenalkan inisiatif baharu dengan kerjasama BIBD.

    Selain untuk diberikan semasa bulan Ramadan sahaja, sejumlah kutipan derma Tabung Anak-Anak Yatim itu juga akan digunakan bagi menaja dua orang anak yatim yang terpilih setiap tahun, bagi mengikuti Program BIBD ALAF di bawah Program Biasiswa Anak Yatim.

    Selepas majlis pelancaran, acara juga diteruskan dengan penyerahan Surat Tajaan Program Biasiswa Anak Yatim bagi Tahun 2022 kepada dua orang anak yatim yang terpilih untuk mengikuti Program BIBD ALAF dengan dibiayai melalui dana Tabung Anak-anak Yatim di bawah JAPEM.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...