Sunday, May 19, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Akok ikan inovasi Zaharah dapat permintaan tinggi

    Gambar Bernama

    PASIR PUTEH – Seorang pengusaha kuih tradisional mengambil langkah berani melakukan inovasi terhadap akok, kuih tradisi masyarakat di Kelantan dan Pantai Timur dengan menambah serunding ikan dalam adunan kuih itu bermula dua tahun lepas.

    Zaharah Mohd Nor, 43, berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran pada mulanya, ternyata kelainan yang dicipta itu kini berjaya mendapat tempat di hati pelanggan sehingga ada yang menjadi pelanggan tetap sekali gus meraih pendapatan lumayan.

    Ibu kepada tiga anak itu berkata beliau mengusahakan perniagaan akok di depan rumah sejak lima tahun lepas sebelum didekati wakil Jabatan Perikanan Negeri yang mencadangkannya melakukan inovasi akok berasaskan ikan.

    “Kunjungan berkenaan diadakan menerusi program myKomuniti Perikanan atau dikenali sebagai myKP. Saya sebagai ahli myKP dibimbing oleh Jabatan Perikanan selama setahun untuk menghasilkan akok ikan selain turut menerima bantuan termasuk kelengkapan akok bernilai hampir RM10,000,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Karnival Usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) & myKP Zon Timur Tahun 2023 di Dataran Bahtera Tok Bali.

    Zaharah (kanan) melayan pelanggan di gerai jualannya.
    Zaharah menunjukkan kuih akok ikan di gerai jualannya ketika ditemui pemberita semasa Program Karnival Usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) & myKOMUNITI Perikanan (myKP) Zon Timur Tahun 2023 di Dataran Bahtera Tok Bali, 7 Jun.

    Pada awalnya, Zaharah mengalami kegagalan termasuk adunan tidak menjadi untuk menghasilkan akok ikan yang sempurna dan dapat memenuhi cita rasa orang ramai.

    Namun, selepas beberapa kali percubaan beliau kini mampu menghasilkan hampir 6,000 biji akok ikan dalam tempoh sebulan yang dijual untuk memenuhi permintaan pelanggan di sekitar Gua Musang dan Kuala Krai selain diletakkan di pusat jualan myKP.

    Menurut Zaharah, beliau membuat 300 biji akok ikan sehari dan memerlukan kira-kira 10 kilogram ikan selayang untuk menghasilkan serunding ikan menggunakan resipi tersendiri yang akan dimasukkan ke dalam adunan akok.

    “Penghasilan serunding itu sangat penting selain perlu memastikan ikan yang digunakan segar kerana khuatir ia akan mengundang rasa tidak enak termasuk bau hanyir apabila pelanggan menikmati akok yang dihasilkan.

    “Ia juga perlu dimasak dalam tempoh yang agak lama iaitu kira-kira lima jam bagi memastikan ramuan sekata dan benar-benar kering. Dari segi penghasilan adunan akok, ia sama seperti penghasilan akok biasa namun, serunding akan dimasukkan ke dalam adunan sebelum dibakar,” katanya yang menjual akok ikan pada harga RM1 sekeping.

    Zaharah yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya Husin Muhammad, 44, berkata beliau bersyukur apabila akok ikan yang tidak mendapat sambutan ketika mula diperkenalkan, kini diterima orang ramai apabila sudah mencubanya.

    Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui Rahman Awang Nur, 53, berkata beliau tertarik untuk membeli akok ikan yang dijual oleh Zaharah memandangkan tidak pernah mengetahui kewujudan akok berkenaan apatah lagi mencubanya.

    “Saya membeli kira-kira enam pek akok ikan untuk dibahagikan kepada keluarga. Ternyata rasanya sangat enak, selain ia juga unik memandangkan saya tidak pernah menjumpainya di tempat lain walaupun saya anak kelahiran negeri ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia cipta AI boleh klasifikasi tumor otak lebih cepat, tepat

    CANBERRA, 19 MEI - Pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Australia (ANU) telah membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) untuk mengklasifikasikan tumor otak dengan lebih cepat...