Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Akta diluluskan, rangsang pertumbuhan ekonomi negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Dengan kelulusan beberapa akta penting khususnya Akta Perbekalan 2022/2023 setelah bersidang selama tujuh hari dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-18 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2022, kerajaan Negara Brunei Darussalam akan dapat melaksanakan inisiatif–inisiatif dan rancangan-rancangan pembangunan negara untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa terjamin.

    Walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang masih merundum dan negara masih mengalami defisit serta berhadapan dengan impak pandemik COVID-19, Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan seorang raja yang berdaulat masih mampu mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang positif sekali gus turut melakar usaha pembaharuan signifikan demi memelihara ketenteraman dan kesejahteraan rakyat serta penduduknya secara holistik.

    Perkara tersebut merupakan antara yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa ucapan penangguhan Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, melalui empat fokus utama belanjawan 2022 / 2023, mendengar pandangan dan saranan terutama sekali dalam memelihara kesejahteraan awam, menjamin sekuriti makanan, mendukung dan membantu sektor swasta agar berdaya tahan dan berkembang serta meningkatkan kompetensi sumber manusia ke arah work and future-ready.

    Antara pandangan dan saranan yang dikemukakan ialah berkaitan kesejahteraan orang ramai berkaitan dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti air, elektrik, pengangkutan, teknologi infokomunikasi, perumahan dan lain-lain; mengambil perhatian berat terhadap rancangan memperkasa pengusaha mikro, kecil dan sederhana; meningkatkan prestasi IKIP; dan mengambil perhatian serius terhadap pendidikan serta peranan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan negara.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar semasa menghadiri permesyuaratan MMN. – Gambar Infofoto

    Di samping ke arah pandangan dan saranan dalam mempertingkatkan usaha sekuriti makanan, pemerkasaan golongan belia dari segi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, serta penglibatan mereka dalam pembangunan negara dalam pelbagai sektor perniagaan dan perusahaan bukan sahaja sebagai pekerja tetapi sebagai pengusaha.

    “Sehubungan ini, kita menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-18 MMN pada tahun ini, berkaitan dengan Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) di mana kajian telah pun selesai dibuat oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Insya Allah perlaksanaan penuh akan bermula pada tahun 2023.”

    Jelasnya, Baginda Sultan juga menekankan mengenai food security; berikutan dengan penularan wabak, ianya sedikit sebanyak telah menjejaskan kemasukan barang-barang makanan dan sekali gus menjadikan harga barangan meningkat serta kadar inflasi tinggi.

    Yang Berhormat Pehin turut bersyukur menyaksikan beberapa usaha telah dan sedang dilaksanakan dalam meningkatkan pengeluaran daripada sektor-sektor pertanian, perikanan dan ternakan demi mencapai sara diri serta mengurangkan kebergantungan kepada import semata-mata.

    Tambahnya lanjut, “dalam keadaan ekonomi dunia yang masih dalam proses pemulihan daripada COVID-19, Insya Allah dengan komitmen yang tinggi, pihak kerajaan akan terus berusaha dan komited untuk meningkatkan kemajuan ekonomi negara menerusi salah satunya dengan terus berusaha menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini dan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam destinasi menarik pelaburan langsung asing (FDI).”

    Terdahulu Yang Berhormat Pehin turut merakamkan penghargaan di atas kegigihan ahli-ahli yang berhormat kerana meneliti, menimbangkan dan menyokong cadangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyediakan anggaran perbelanjaan bagi Tahun Kewangan 2022 / 2023 berjumlah $5.7 bilion.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...