Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Alcaraz sekat Medvedev

    INDIAN WELLS, 18 MAC – Pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz pulang dengan kemenangan 7-6 (7/5), 6-1 ke atas Daniil Medvedev kelmarin untuk memenangi gelaran ATP Indian Wells kedua berturut-turut, kedua-duanya ketika berdepan pemain Rusia itu di final.

    Alcaraz merangkul kejuaraan pertamanya sejak Wimbledon Julai lalu dan menjadi pemenang ulangan pertama di Indian Wells sejak Novak Djokovic memenangi tiga kejuaraan berturut-turut dari 2014-16.

    Bagi pemain Sepanyol berusia 20 tahun itu, 12 hari di padang pasir California membuktikan apa yang dia perlukan selepas permulaan musim yang perlahan, termasuk tersingkir pada suku akhir Terbuka Australia dan kecederaan buku lali yang memaksanya keluar dari perlawanan pembukaan di Rio de Janeiro pada Februari.

    “Banyak keraguan untuk saya,” katanya tentang pemikirannya di tengah-tengah kemarau gelaran paling lama sejak dia melepasi Grand Slam pertamanya di Terbuka AS 2022.

    Bagi Alcaraz, ini bukan hanya tentang mengakhiri kemarau, tetapi tentang menemui semula kegembiraannya dalam permainan.

    Aksi Alcaraz mengembalikan bola kepada Daniil Medvedev di Taman Tenis Indian Wells. – AFP

    “Ia amat bermakna bagi saya, menjulang trofi ini, memenangi kejohanan ini, kerana saya mengatasi banyak masalah dalam kepala saya, banyak masalah secara fizikal,” katanya.

    “Bukannya saya tidak memenangi kejohanan sejak Wimbledon. Bagi saya, ia tidak penting, ia tentang perasaan… Ia mengenai keseronokan bermain tenis, sebaik sahaja saya melangkah ke gelanggang, menikmati permainan saya. Itu yang penting.

    “Itulah sebabnya saya sangat gembira untuk menjulang trofi ini, kerana saya menemui diri saya di kejohanan ini.”

    Seperti yang dilakukannya tahun lalu, Alcaraz menafikan usaha Medvedev untuk menawan satu-satunya daripada enam gelaran Masters 1000 gelanggang permukaan keras ATP yang masih belum dimenanginya.

    Lebih penting lagi, selepas seminggu dia menamatkan rekod kemenangan 19 perlawanan berturut-turut juara Terbuka Australia, Jannik Sinner, Alcaraz menantikan dengan keyakinan baharu untuk kejohanan gelanggang minggu depan di Miami dan seterusnya.

    “Jelas memenangi Masters 1000 lagi – ia adalah kejohanan yang sangat sukar untuk dimenangi – memberi awda motivasi tambahan untuk terus maju, keyakinan tambahan untuk Miami sekarang dan untuk kejohanan akan datang,” kata Alcaraz, yang menyertai rakan sepasukannya Rafael Nadal sebagai pemain yang memenangi lima gelaran Masters 1000 sebelum mencapai umur 21 tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...