Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Ash Barty menang anugerah sukan terbaik Australia

    MELBOURNE, AUSTRALIA, 9 DIS — Gelaran juara Terbuka Australia yang diperoleh Ash Barty pada bulan Januari lalu, cukup untuk memastikan bekas pemain tenis ranking teratas itu menang anugerah sukan tahunan yang paling berprestij di Australia – walaupun dia telah bersara kurang daripada dua bulan kemudian.

    Barty telah mendapat Anugerah Don, dinamakan sempena pemain kriket paling berjaya dan terkenal, Don Bradman.

    Barty mengejutkan dunia tenis pada bulan Mac lalu apabila dia mengumumkan persaraannya pada umur 25 tahun. Juara kejohanan utama tiga kali itu menduduki ranking wanita nombor satu semasa membuat keputusan untuk menggantung raketnya.

    Anugerah Don diberikan kepada atlet atau kumpulan ‘yang memberikan inspirasi kepada negara melalui prestasi dan teladan pada tahun sebelumnya.’

    Barty (2019, 2022) menyertai pemenang pingat emas Olimpik dalam acara lari pecut berpagar, Sally Pearson (2012, 2014) dan juara Olimpik dalam acara lompat galah, Steve Hooker (2008, 2009) sebagai pemenang anugerah beberapa kali berkenaan.

    Gambar fail bertarikh 29 Januari 2022 menunjukkan Ash Barty meraikan kemenangannya ke atas Danielle Collins dari Amerika Syarikat dalam aksi final perseorangan wanita Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne. – AP

    Barty menyatakan dia telah membuat keputusan sebelum Terbuka Australia bermula bahawa ia merupakan kejohanan terakhir buat dirinya.

    “Kejohanan tahun ini pastinya merupakan Terbuka Australia yang paling menyeronokkan buat saya, kerana saya rasa bebas,” Barty berkata dalam temu bual televisyen pada Khamis.

    “Saya bermain tanpa ada apa-apa kesan buruk, saya bermain seperti seorang kanak-kanak. Pada pandangan saya, saya tidak berasa sebarang tekanan. Ia hanyalah mengenai saya yang cuba untuk menunaikan hasrat saya, untuk bermain dengan cara yang saya mahukan – sertai kejohanan dan bermain seperti seorang kanak-kanak yang cintakan sukan.”

    Barty menyatakan dia tidak merancang untuk kembali ke dunia tenis.

    “Dalam fikiran saya, tiada kesudahan yang sempurna, namun, ini adalah penamat yang sempurna buat saya. Saya bukannya bersara kerana kemenangan ini atau perasaan terlalu gembira. Ia adalah kerana, secara kolektif, saya rasa ini adalah keputusan yang betul.

    “Sekarang (keputusan untuk bersara) itu telah memberikan saya kehidupan sembilan bulan yang menakjubkan di luar gelanggang tenis. Ia sungguh hebat.”

    Barty telah berkahwin dengan pasangannya, Garry Kissick pada hujung bulan Julai yang lalu. Dia dilihat kerap bermain golf dan dilaporkan akan bermain dengan handikap satu digit. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...