Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Atlet negara diseru jaga disiplin

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Semua atlet dan pegawai-pegawai yang akan mewakili Negara Brunei Darussalam ke temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) diingatkan untuk sentiasa menjaga disiplin masing-masing bagi menjaga nama baik negara.

    Perkara tersebut antara yang ditekankan dalam sabda yang disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), semasa Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam 2022, pagi tadi.

    “Penyertaan awda adalah berdasarkan kepada sukat-sukat dan penilaian yang terperinci dibuat dan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Penilaian, dan Pemilihan Atlet Kebangsaan yang berasaskan daripada sokongan Urusetia Penilaian dan Pemilihan Atlit Kebangsaan. 

    “Oleh yang demikian, awda perlu berbangga atas penyertaan ini dengan penuh bersemangat dalam sama-sama mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di Sukan SEA ke-31 nanti,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara.

    Pada kesempatan yang sama, Duli Yang Teramat Mulia juga mengucapkan tahniah kepada persatuan sukan kebangsaan dan jurulatih-jurulatih yang terlibat serta ibu bapa atlet-atlet kerana telah memberikan bimbingan, sokongan dan dorongan yang berterusan kepada atlet-atlet.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan bersabda pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam 2022, kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan berangkat menghadiri majlis tersebut.

    Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia turut mengingatkan kepada semua atlet dan pegawai-pegawai yang akan mewakili negara di Sukan SEA nanti supaya akan sentiasa berhati-hati dalam menjaga diri daripada COVID, di samping mematuhi semua peraturan-peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan dan ditetapkan oleh pihak penganjur Sukan SEA ke-31 di mana dengan cara itu sahajalah yang dapat membendung atau mengawal COVID daripada berjangkit dan merebak.

    Duli Yang Teramat Mulia juga mendoakan semoga atlet-atlet, pegawai-pegawai serta jurulatih-jurulatih yang akan mewakili negara ke Sukan SEA itu sentiasa sihat walafiat, cerdas, berintegriti, berwibawa dan dalam peliharaan Allah SWT.

    Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia bersabda menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atas sokongan yang diberikan kepada BDNOC.

    “Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen seramai 39 orang, yang terdiri daripada 16 orang pegawai dan 23 orang atlet dalam empat acara sukan, iaitu e-sukan seramai 10 atlet lelaki, karate do (dua atlet lelaki dan tiga atlet wanita), pencak silat (seorang atlet lelaki dan tiga atlit wanita) dan wusyu yang akan diwakili empat atlet lelaki.

    “Dalam hubungan ini, saya sukacita mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet yang terpilih untuk mewakili negara.

    “Saya pasti yakin, bahawa semua atlit, yang terpilih telah maklum akan peraturan-peraturan bagi mewakili negara selaku atlet kebangsaan terutama sekali akan peraturan daripada bahan terlarang ataupun peraturan anti-doping,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...