HONG KONG, 8 MEI – Bekas ketua ke-selamatan yang menyelia tindakan keras terhadap pergerakan prodemokrasi Hong Kong dilantik sebagai pemimpin baharu hab perniagaan itu oleh jawatankuasa kecil dianggotai penyokong yang setia kepada Beijing.
John Lee, 64, adalah satu-satunya calon yang disokong oleh Beijing bagi menggantikan pemimpin sedia ada, Carrie Lam.
Pelantikan Lee, yang dikenakan perintah sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), adalah kali pertama pegawai keselamatan dilantik bagi jawatan itu tertinggi itu, di bandar yang sejak beberapa tahun lalu dirundung ketidakstabilan politik dan pandemik COVID.
Walaupun perlembagaan mini bandar itu menjanjikan hak kebebasan mengundi, Hong Kong tidak pernah mengamalkan demokrasi, sekali gus mencetuskan kekecewaan dan protes awam sejak pulau itu diserahkan kepada China pada 1997.
Sebaliknya, pemimpin Hong Kong dipilih menerusi pilihan raya jawatankuasa yang kini merangkumi 1,461 anggota, kira-kira 0.02 peratus daripada penduduk bandar itu.
Menurut pegawai, selepas undian rahsia hari ini, 99 peratus (1,416 ahli) mengundi Lee, manakala lapan menentang.
Beijing memuji keputusan itu dengan menyatakan ia menunjukkan masyarakat Hong Kong mempunyai tahap pengiktirafan dan kelulusan yang tinggi.
Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau, dalam kenyataannya, berkata ini adalah demonstrasi sebenar semangat demokratik. – AFP