Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Bergelut bercucuk tanam di tanah sekangkang kera

    SINDIYUN, MESIR – Pekebun kecil-kecilan Mesir menanam hampir separuh daripada hasil keluaran negara, peranan yang semakin penting selepas import bijirin terhenti disebabkan peperangan di Ukraine – namun mereka sedang bergelut untuk bertahan.

    Meskipun peranan penting mereka dalam membekalkan makanan untuk 103 juta penduduk di Afrika Utara, pekebun kecil mengalami kesempitan wang dan berhutang, sering menjual hasil tanaman mereka dengan harga merugikan.

    “Petani sudah menemui jalan buntu,” beritahu pekebun Zakaria Aboueldahab kepada AFP, ketika menjerang air panas untuk membru teh di sebidang tanah sekangkang kera yang disewa dan ditanam dengan gandum dan bawang di Qalyubia, 30 kilometer dari utara Kaherah.

    “Saya cuba menjual hasil tanaman bawang saya tetapi saya tidak dapat mencari pasaran,” katanya, dengan saki-baki tanamannya berselerak di atas tanah. “Saya hanya mahu pulang modal. Saya tidak tahu bagaimana saya akan membayar sewa untuk tanah ini.”

    Bawangnya akan dijual di Mesir, namun sekatan pembiayaan, pemasaran dan infrastruktur mewujudkan jurang amat besar di antara bekalan dan permintaan.

    Petani memetik tanaman lada di el-Fashn, wilayah Beni Suef di Mesir, kira-kira 150 kilometer ke selatan ibu negara baru-baru ini. – AFP

    Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), ladang kecil merupakan ‘sumber pengeluaran utama’ makanan untuk penggunaan domestik di Mesir.

    Pekebun bercucuk tanam di kawasan tanah kurang daripada 1.2 hektar – saiz sebuah padang bola sepak – mengusahakan 35 peratus daripada tanah suai tani.

    Namun mereka menghasilkan kira-kira 47 peratus daripada tanaman Mesir, mengikut pengiraan FAO.

    Ladang yang lebih besar menumpu pada eksport – keadaan yang kian meruncing apabila Rusia menyerang Ukraine.

    Mesir, pengimport terkemuka gandum di dunia, bergantung pada Rusia dan Ukraine untuk 80 peratus daripada importnya, membekalkan tepung untuk pembuatan roti tradisional Mesir.

    Penduduk biasa Mesir memakan roti untuk hampir kesemua sajian mereka, dan petani gandum Mesir menambah pengeluaran kepada 40 peratus daripada keperluan negara.

    “Tanpa 40 peratus daripada gandum yang kami hasilkan dalam negara,” beritahu pakar sosiologi luar bandar Saker al-Nour kepada AFP, kesan daripada peperangan ‘akan menjadi jauh lebih teruk.’

    Pada Mac, Kaherah mengarahkan peladang supaya menanam gandum, menganggap perintah ‘penghantaran wajib’ itu sebagai satu ‘tugas patriotik.’

    Menjelang Jun, petani telah mengeluarkan lebih daripada 3.5 juta tan, menurut kementerian bekalan, lebih separuh daripada matlamat bekalan domestik sehingga bulan Ogos, dan bersamaan dengan jumlah keseluruhan yang dibekalkan pada 2021.

    Penghantaran tanaman wajib merupakan tunggak dasar sosialis presiden Gamal Abdel Nasser pada tahun 1960, akan tetapi dasar berkenaan dibatalkan di tengah program penyelarasan struktural pada tahun 1990an.

    Dengan program tersebut, subsidi yang diberikan untuk benih, racun perosak dan baja sebelum ini juga dibatalkan, di mana ia telah merosot dalam tempoh beberapa dekad ini.

    “Dengan sekelip mata, apabila keadaan menjadi rumit, kerajaan kembali kepada dasar penghantaran wajib, namun kali ini tanpa perkhidmatan yang datang bersamanya,” kata Nour.

    Untuk menggalak petani menanam gandum, kerajaan sebelum ini telah menetapkan harga yang lebih tinggi berbanding import.

    Namun kenaikan yang tidak dijangka dalam harga global telah memberikan kesan yang hebat.

    “Sekarang saya berhutang wang dengan peniaga racun perosak, peniaga baja,” kata Aboueldahab. “Oleh itu, sekiranya seseorang datang dan membida harga yang rendah, apakah yang patut saya lakukan?”

    Satu-satunya penyelesaian adalah untuk pekebun kecil bergabung dan menggunakan kuasa teknologi.

    Usahawan Hussein Abou Bakr melancarkan syarikat kewangan baharu bernama Mozare3, makna ‘pekebun’ dalam Bahasa Arab, yang menawarkan petani penyelesaian kewangan serta sokongan agronomi.

    Ia juga membantu petani ‘menjadi ejen halangan,’ tanpa koperasi tempatan yang cekap serta menetapkan harga ‘sebagai satu bentuk perlindungan’ ke atas ketidakstabilan pasaran.

    Nour mengingatkan pekebun kecil mempunyai ‘kuasa tawar-menawar yang amat terhad, terutamanya apabila mereka tidak mempunyai kapasiti simpanan untuk hasil keluaran mereka.’

    Namun dengan kadar buta huruf dalam kalangan pekebun kecil mencecah 32 peratus, menurut FAO, persatuan kampung luar talian merupakan satu keperluan terdesak.

    Tatkala perubahan iklim semakin mencengkam, Nour memberi amaran pendekatan asas adalah satu jalan penyelesaian yang penting.

    Persatuan berkenaan boleh, misalnya, memberitahu mengenai peristiwa cuaca melampau dengan cepat dan secara langsung kepada petani di mana tanaman mereka berdepan risiko.

    Alat berkenaan memang wujud, menurut pakar sosiologi. “Kami hanya perlu menawarkannya kepada pekebun kecil.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...