Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Berusaha tangani learning loss

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diharap supaya akan terus menggembleng tenaga ke arah mengurangkan learning loss atau kehilangan pembelajaran dengan melaksanakan program pemulihan yang bersesuaian.

    Kedua-dua kementerian tersebut juga diharap dapat meneliti kesan dan impak educational inequality ataupun ketidaksamaan pendidikan serta kaitannya dengan learning loss di kalangan kanak-kanak kerana ia boleh membawa kesan negatif jangka panjang terhadap produktiviti dan kesejahteraan pelajar.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa mengurniakan titah sempena Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam kali ke-32 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

    “Beta yakin pengalaman semasa pandemik ini telah memaksa kita untuk melihat cara pengajaran norma baharu dan penggunaan teknologi.

    “Secara tidak langsung, pengalaman ini juga membuka peluang inovasi dalam pendidikan, baik dari segi kurikulum, pedagogi pengajaran, teknologi pendidikan, penilaian, peperiksaan dan persekitaran sekolah,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra dengan rakyat jelata semasa Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam kali ke-32 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru ke-32, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Baginda turut bertitah bahawa adalah penting bagi kita untuk sentiasa bersedia dengan membina sistem yang lebih berdaya tahan bagi menangani apa jua krisis yang melanda kerana tidak mustahil krisis seumpama pandemik akan terjadi lagi di masa akan datang.

    Di samping itu, Baginda turut menyeru Kementerian Pendidikan untuk fokus kepada menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat untuk semua pelajar, dari peringkat awal pendidikan sehinggalah keperingkat pengajian tinggi.

    Sementara itu, para guru pula perlu diberikan dorongan padu oleh pihak kementerian dengan memastikan perkembangan profesional mereka terus diberikan perhatian.

    Menyentuh mengenai kesejahteraan para guru yang perlu untuk diambil berat, Baginda berharap dengan tertubuhnya Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar di Kementerian Pendidikan pada tahun 2021, isu kesihatan di kalangan tenaga pengajar akan dapat diberikan perhatian sewajarnya, dengan kerjasama pihak-pihak yang berkepentingan.

    Baginda turut menyeru agar para guru supaya sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran, khususnya dalam bidang Teknologi Maklumat kerana Baginda menganggap para guru meru-pakan pelopor budaya pembelajaran sepanjang hayat.

    Baginda turut mengambil maklum mengenai beberapa inisiatif yang telah dan akan terus dilaksanakan untuk memacu transformasi pendidikan di negara ini.

    Antara inisiatif tersebut termasuk penaiktarafan infrastruktur rangkaian infoteknologi sekolah-sekolah, pembekalan alat peranti dan data internet kepada semua para guru dan pelajar yang memerlukan.

    Semua ini adalah bertujuan untuk mendukung pembelajaran menggunakan teknologi, selaras dengan Pelan Transformasi Digital, Kementerian Pendidikan.

    Di peringkat pendidikan teknikal dan pengajian tinggi, Negara Brunei Darussalam telah mendapat pengiktirafan dan ranking peringkat dunia, yang dicerminkan sebagai hasil pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang berkualiti di negara ini.

    “Beta berharap usaha akan terus dibuat untuk melahirkan rakyat yang future-proof. Sebagai way forward, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan merangka dasar dan pelan strategik bagi tujuan mencapai matlamat wawasan 2035,” titah Baginda.

    Menyentuh mengenai tema Hari Guru pada tahun ini iaitu ‘Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan’, Baginda bertitah bahawa tema ini sangatlah relevan terutama dengan keadaan global yang mengalami perubahan ketara, khusus akibat penularan COVID di mana dunia telah mengharungi suasana amat mencabar dalam pengajaran dan pembelajaran yang belum pernah dialami sebelumnya.

    Kesemua ini memberikan impak signifikan kepada sistem pendidikan, termasuk kepada para guru di seluruh dunia.

    “Dalam hubungan ini, kita wajar bersyukur kerana pendidikan di negara ini, masih dapat diteruskan, walaupun adanya kekangan dan rintangan. Semua ini mampu dilaksanakan dengan adanya para guru yang bersemangat kental. Beta sukacita mengucapkan terima kasih kepada mereka itu.

    “Brunei Darussalam, turut mengambil maklum bahawa Bank Dunia telah menganggarkan hampir 1.6 bilion kanak-kanak di seluruh dunia telah terkesan dengan penutupan sekolah, semasa beberapa gelombang pandemik melanda dunia selama lebih dua tahun yang lalu.

    “Pada gelombang pertama, purata kehilangan pembelajaran para pelajar adalah selama lebih setengah tahun bagi tempoh penutupan sekolah selama 15 minggu. Sekiranya tiada sebarang intervensi dilaksanakan, maka kehilangan pembelajaran sudah tentu boleh membawa kesan negatif jangka panjang terhadap produktiviti dan kesejahteraan para pelajar,” titah Baginda lagi.

    Pada masa yang sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua warga guru, dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Guru.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...