Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Biasakan berdoa sebelum memandu

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Kemalangan jalan adalah satu musibah yang tidak dijangka di mana kemalangan ini sering berlaku akibat daripada kecuaian pengguna dan pelanggaran peraturan jalan raya.

    Terdapat beberapa faktor utama yang menjadi punca kemalangan jalan raya seperti memandu secara bahaya dan laju, melebihi had ditetapkan, menggunakan telefon bimbit dan melanggar peraturan lalu lintas seperti tanda lampu isyarat.

    “Faktor lain termasuk memandu dalam keadaan marah atau panas baran dan tidak bertolak ansur serta kelalaian segelintir pengguna jalan raya membuat penyelenggarakan kenderaan sehingga mengakibatkan kenderaan tidak berfungsi dengan baik,” tekan khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Bersama’.

    Khatib seterusnya mengongsikan perangkaan jalan raya dari Januari hingga Oktober 2022 yang mana, sebanyak 18 nyawa terkorban dicatat akibat kemalangan jalan raya di samping kecederaan manusia, kerosakan harta benda dan kerugian sehingga ribuan ringgit yang terpaksa ditanggung oleh mangsa, keluarga dan juga pihak kerajaan.

    Menurutnya, apabila berlaku kemalangan ia bukan saja menyebabkan kesedihan kepada keluarga mangsa tapi, ia juga memberikan impak yang besar kepada negara sama ada dari segi sosial mahupun ekonomi dan kewangan.

    Dalam pada itu, khatib menasihatkan orang ramai untuk mentaati dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya telah dikuatkuasakan di negara ini demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya khasnya dan masyarakat amnya.

    Selain itu, katanya, pemandu perlu memberi tumpuan sepenuhnya termasuk sentiasa mengamalkan akhlak Islam yang luhur seperti sabar dan tidak tergopoh-gapah.

    Beliau seterusnya menjelaskan, bagi mewujudkan satu bentuk interaksi yang baik dan harmoni sesama pemandu dan pengguna jalan raya yang lain, adalah perlu mempersiapkan diri dari segi fizikal, mental, dan emosional sebaik mungkin.

    “Sebarang kecuaian walaupun beberapa saat memungkinkan satu tragedi yang menggerunkan berlaku,” tegasnya.

    Dalam perkara berkaitan, satu kekuatan unggul pendekatan keagamaan yang tidak boleh ditinggalkan dalam menjaga adab apabila memulakan perjalanan adalah dengan mengamalkan doa dan zikir pelindung sebagai ikhtiar dan usaha untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan terutama di jalan raya.

    Selain itu, sebelum keluar rumah, hendaklah membiasakan membaca surah Al-Fatihah, Ayat Kursi dan surah Al-Quraisy manakala ketika menaiki kenderaan jua hendaklah membiasakan membaca doa.

    Dengan membaca surah dan doa, akan mendapat keselamatan dan terhindar daripada sebarang bahaya dan malapetaka ketika berada dalam perjalanan.

    Sehubungan itu, mengelakkan kecederaan jalan raya serta kesan terhadap keluarga dan komunikasi di seluruh dunia menjadi tumpuan utama sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia tahun ini.

    Dalam memberikan sokongan dan kerjasama bagi mengelakkan kemalangan demi mencapai wawasan sifar kemalangan maut di jalan raya, jelasnya, adalah dengan sentiasa mengamalkan sifat berdisiplin dan berhemat, hormat-menghormati, bertolak ansur, sentiasa mematuhi undang-undang dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...