Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Brunei, India komited tingkatkan kerjasama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Negara Brunei Darussalam dan Republik India terus menekankan komitmen kedua-dua buah negara dalam meningkatkan perdagangan dua hala dan kerjasama pelaburan serta pada masa yang sama, mengambil maklum akan perkembangan yang telah dicapai setakat ini.

    Penekanan itu dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Brunei Darussalam-India ke-2 yang berlangsung secara maya pada 11 Mac lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini.

    Kenyataan menyatakan bahawa mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Negara Brunei Darussalam, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dan Setiausaha Bersama, Perdagangan Luar (ASEAN), Jabatan Perdagangan Republik India, Shri Diwakar Nath Misra.

    Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik India, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Laila Utama Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha dan Kuasa Usaha, Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, Alok Verma serta wakil-wakil dari kementerian-kementerian relevan di Negara Brunei Darussalam.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa mesyuarat turut menerokai kerjasama berpotensi dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama termasuk pertanian, produk farmaseutikal dan kesihatan, perkhidmatan, sektor automotif dan pendekatan perniagaan-keperniagaan serta juga hubungan ekonomi ASEAN-India.

    Jawatankuasa Perdagangan Bersama Brunei Darussalam-India telah ditubuhkan menerusi memorandum persefahaman bagi penubuhan sebuah jawatankuasa perdagangan bersama yang dimeterai pada 2008.

    Ia bermatlamat untuk memudahkan perkembangan kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan India dalam bidang-bidang berkepentingan bersama.

    Dr Hajah May Fa’ezah, Shri Diwakar Nath Misra, TYT Dato Paduka Haji Alaihuddin dan Alok Verma yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Brunei Darussalam-India Ke-2 yang berlangsung secara maya pada 11 Mac lalu. – Gambar serahan MOFE
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...