Saturday, April 27, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    BSMM tapis, rawat air sungai Papar

    KOTA KINABALU, 28 MAC – Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah mengambil langkah proaktif memasang sistem penapis air sementara di Sungai Papar, dekat Kampung Mandalipau, untuk menapis dan merawat air sungai menjadi air bersih bagi kegunaan penduduk yang berdepan krisis bekalan air akibat kemarau.

    Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Perkhidmatan Ambulans BSMM Sabah, Hairuddin Siramin, berkata inisiatif memasang sistem penapis air sementara dikenali Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) di sungai itu dijalankan sejak 22 Mac lepas.

    Hairuddin yang juga koordinator projek itu berkata, sistem berkenaan berupaya merawat 1,000 liter air dalam tempoh satu jam, atau secara purata menghasilkan kira-kira 8,000 hingga 10,000 liter air bersih sehari, untuk diagihkan kepada penduduk kampung di sekitar daerah terlibat.

    Beliau berkata, air Sungai Papar ditapis menggunakan sistem WASH itu akan melalui tiga peringkat penapisan, selain sampel air dihasilkan juga diambil oleh Jabatan Air Negeri Sabah untuk ujian kualiti bagi memastikan ia menepati piawaian ditetapkan serta dijamin selamat dan bersih untuk kegunaan penduduk.

    “Saya berharap usaha ini akan dapat membantu dalam menyediakan bekalan air bersih di Papar dan ia sampai kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

    Gambar Freepik

    Pada 13 Mac, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam kenyataan mengisytiharkan Papar, terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melanda kawasan tersebut.

    Sementara itu, Ketua Pasukan WASH, Azryan Ismail, berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (PKOB) Papar turut berpuas hati dengan inisiatif dilaksanakan oleh pasukan BSMM kerana ia dapat membantu penduduk kampung terjejas kemarau mendapatkan bekalan air bersih.

    Beliau berkata, pihaknya menyediakan tiga tangki pengumpulan air masing-masing berkapasiti 1,000 liter; 1,500 liter; dan 5,000 liter yang boleh diambil oleh penduduk di tapak WASH berkenaan.

    “Kami dijangka beroperasi di tapak WASH ini selama dua minggu sehingga 4 April depan, tetapi sekiranya masalah bekalan air (di Papar) belum selesai maka operasi mungkin akan diteruskan,” katanya, sambil menambah sebanyak tujuh sukarelawan ditugaskan secara bergilir-gilir bagi memastikan projek itu berjalan lancar.

    Pegawai Daerah Papar, Mohd Fuad Abdullah, dalam kenyataan memaklumkan pasukan BSMM yang meneruskan inisiatif merawat air Sungai Papar-Mandalipau menerusi kaedah WASH itu berjaya menghasilkan 6,360 liter air untuk diagihkan kepada penduduk kampung, semalam. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...