Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Dapur awam bantu golongan terjejas akibat wabak

    VALLETTA – Menunya: Kaki ayam, isi ikan, ubi kentang, lobak merah, pencuci mulut, buah-buahan.

    Pada pukul 12 tengah hari, hidangan tengah hari yang mewah dihidangkan kepada orang ramai yang beratur di ruang makan yang terletak di bangunan abad ke-16 di ibu negara Malta, Valletta. Papan tanda di situ tertera ‘Tunggu untuk dilayan’. Mereka semua kehilangan tempat tinggal dan kelaparan.

    Di ruang makan seluas 100 meter persegi, secara rasmi dipanggil ‘Soup Kitchen’ tetapi dikenali sebagai ‘dapur awam’ atau ‘rumah hangat’, sukarelawan menawarkan makan tengah hari, minum petang dan makan malam percuma kepada yang memerlukan.

    The Soup Kitchen membuka pintunya pada Ogos lalu, semasa kemuncak wabak koronavirus. Sejak itu, ia telah menyediakan lebih daripada 30,000 hidangan kepada 8,600 orang, dianggarkan 90 peratus daripadanya adalah warga Malta. Makanan tersebut disumbangkan oleh syarikat, sekolah dan individu.

    “Kami melayan mereka semua sebagai tetamu. Kami menawarkan mereka maruah. Moto kami ialah ‘hidup dengan maruah’ kerana kami percaya setiap orang berhak mendapat pendidikan, tempat tinggal dan kesihatan,” kata Marcelino Micallef, pengarah Soup Kitchen yang berusia 64 tahun. 

    Para kakitangan kelihatan menyediakan makanan untuk tetamu di Soup Kitchen. – Xinhua
    Kelihatan orang awam menunggu mendapatkan makanan di Soup Kitchen di Valletta, Malta. – Xinhua
    Seorang kakitangan menyusun barangan makanan di tempat simpanan. – Xinhua
    Kelihatan lobak merah dipotong untuk dijadikan hidangan yang akan diberikan kepada mereka yang memerlukan. – Xinhua

    Pandemik telah mengubah kehidupan gelandangan Malta dan penduduk lain yang terdedah dengan cara yang besar. Keperluan penjarakan sosial telah memaksa mereka untuk mengasingkan diri secara sukarela dan mendapatkan makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain telah menjadi tugas yang sukar bagi mereka.

    “The Soup Kitchen dibuka pada masa yang tepat untuk orang-orang ini,” kata Micallef, sambil menambah “Kami gembira dapat memberi kelegaan kepada mereka yang kelaparan, memberi mereka maruah dan membantu mereka melalui kesukaran mereka.”

    Dianggarkan 700,000 orang tidur tidak selesa setiap malam di Eropah, 70 peratus lebih daripada sedekad lalu, menurut tinjauan yang diterbitkan oleh Eurostat, pejabat statistik Kesatuan Eropah (EU), pada Mei 2021.

    Sejak tercetusnya wabak itu, Micallef berkata, keperluan golongan gelandangan dan rentan Malta telah meningkat ‘secara eksponen’. Badan amal seperti Soup Kitchen sangat memerlukan bantuan, tetapi sekatan sosial yang berkaitan dengan wabak menyukarkan walaupun sukarelawan untuk membantu.

    “Ia adalah tekanan pada sistem secara umum, yang menjadikannya amat sukar untuk mengendalikan badan amal. Tidak hairanlah kami sentiasa merayu bantuan,” katanya.

    Untuk mengelakkan orang ramai yang kelaparan kerana sekatan kesihatan, dapur sentiasa menyediakan makanan dalam kotak bawa pulang untuk mereka yang tidak divaksinasi, yang tidak dibenarkan masuk ke dalam premis.

    “Mereka tidak boleh dilupakan,” kata Micallef.

    The Soup Kitchen dikendalikan oleh dua pekerja sepenuh masa, salah seorang daripada mereka adalah seorang cef.

    Ia juga dibantu oleh hampir 90 sukarelawan, termasuk dua tukang gunting rambut dan seorang pakar psikiatri.

    Terdapat pancuran mandian di mana pelanggan boleh menyegarkan diri, dan juga perkhidmatan dobi, supaya mereka boleh mencuci pakaian sambil mengisi perut.

    Angela Scerri, seorang sukarelawan, berkata dia menikmati masanya di Soup Kitchen. “Ia adalah komuniti,” katanya.

    “Kami cuba membantu mereka mencari penginapan atau pekerjaan, atau hanya menemani mereka.”

    “Kebanyakan daripada kami adalah sukarelawan, dan kami melakukan tugas kami dengan kasih sayang,” tambah Scerri.

    Di Soup Kitchen, dua peguam menawarkan bantuan guaman percuma untuk mereka ini. Dan sukarelawan juga membantu mencari pekerjaan untuk penganggur. Setakat ini, 12 orang telah terbantu dari sumbangan dengan bantuan mereka.

    Seorang pelanggan, yang memilih untuk tidak dikenali, berkata dia telah kehilangan segala-galanya, keluarga, pekerjaan dan rakannya akibat ketagihan dadah.

    Nasib baik, dia telah memulakan program pemulihan dadah dan dengan bantuan Soup Kitchen dia mendapat pekerjaan.

    Sumbangan kepada dapur datang bukan sahaja dalam bentuk makanan atau wang tunai. Menurut Micallef, sebuah syarikat baru-baru ini menyumbangkan puluhan pemanas air.

    Syarikat lain memasang panel suria di atas bumbung, jadi sekarang ia mempunyai elektrik walaupun pada musim sejuk, manakala syarikat lain menderma barangan lain, seperti ketuhar gelombang mikro.

    Projek terbaru The Soup Kitchen adalah untuk menjadikan harta tanah yang tidak digunakan di sebelah menjadi tempat perlindungan untuk gelandangan.

    “Lebih banyak awda memberi, lebih banyak awda menerima,” kata Micallef. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...