Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    ‘Derma darah untuk saham akhirat’

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Sebanyak 31 pain darah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah anjuran Al-Bukhari Textiles, cawangan Aman Hills dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.

    Kempen derma darah tersebut diadakan di ruangan legar aras bawah kompleks berkenaan dan turut disertai oleh Pengarah Urusan Al-Bukhari Textiles, Shookat Ali Rahim yang mana kempen itu diadakan sempena Hari Penderma Darah Sedunia sekali gus memupuk kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan menderma darah.

    Semasa temu bual media bersama beberapa orang penderma aktif dan baharu, mereka mengongsikan pengalaman dan faedah yang diperoleh selepas menderma darah.

    Salah seorang penderma darah, Awang Sadriman bin Kamis mengongsikan beliau mula aktif menyertai kempen menderma darah sejak tahun 2002 dan sehingga kini lebih 17 kali menyertai kempen seumpamanya.

    Tujuan beliau menyertai kempen tersebut adalah untuk membantu orang ramai yang memerlukan dan ia juga adalah salah satu saham akhirat untuk beliau beramal kepada yang memerlukan.

    Awang Sadriman semasa menyertai kempen menderma darah yang diadakan kelmarin.

    Beliau berkata untuk menjadi penderma aktif, apa yang penting ialah menjaga pemakanan, banyak minum air dan mengambil pemakanan yang berkhasiat dan juga bersukan.

    Selain itu, seorang penderma darah yang ditemu bual, Awang Mohd Amirul Aiman bin Sadriman, 19, berkata ia adalah kali pertama beliau menyertai dalam kempen derma darah itu.

    Beliau menceritakan, dia menyertai kempen tersebut setelah mendapat sokongan daripada ayah beliau yang merupakan penderma aktif.

    Pada mulanya beliau merasa kurang yakin kerana takut kepada jarum, namun hasil sokongan daripada ayahnya, beliau akhirnya memberanikan diri untuk mencuba dan kini meluahkan hasrat untuk mengikut jejak langkah ayahnya sebagai penderma aktif demi membantu mereka yang memerlukan saat kecemasan.

    Sementara itu, salah seorang penderma wanita, Dayang Suzana Ukul, berkata bahawa beliau adalah seorang yang giat menyertai dalam kempen derma darah dan kali pertama menderma darah adalah pada 2012 semasa bertugas.

    Katanya lagi, “Kali terakhir menyertai dalam kempen ini pada bulan Februari yang lepas dan semangat untuk terus memberi sokongan terhadap kempen ini datang dari diri sendiri selain menjadi salah satu cara untuk membantu orang ramai dan pusat tabung darah.”

    Al-Bukhari Textiles telah bergiat aktif dalam memberi sokongan dalam kempen ini dan kempen seumpama ini akan diteruskan lagi esok bermula pukul 10 pagi hingga pukul 12 tengah hari di tempat yang sama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...