Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Doa Kesyukuran sempena penubuhan institusi fatwa ke-60

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Sempena menyambut Penubuhan Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam ke-60 tahun, Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Penghargaan yang berlangsung di Ruang Legar Darulifta, JMK, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Pemangku Pengarah Pentadbiran, JMK, Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman dalam ucapannya selaku pengerusi majlis berkata, beberapa acara telah pun dirancang bersempena dengan 60 tahun wujudnya institusi fatwa di Negara Brunei Darussalam dan majlis berkenaan merupakan acara kedua daripadanya.

    Beliau juga sedikit sebanyak mengimbas sejarah perkembangan institusi fatwa di Negara Brunei Darussalam dalam tempoh enam dekad.

    “Jika ditelusuri dari tahun 1962 hingga 2022, kita dapat melihat bahawa institusi fatwa di Negara Brunei Darussalam telah pun berkembang secara berperingkat-peringkat,” jelasnya.

    Yang Berhormat Mufti Kerajaan menyampaikan penghargaan kepada warga JMK semasa majlis tersebut.

    Majlis diteruskan dengan ucapan Yang Berhormat Mufti Kerajaan yang berkata bahawa sambutan berkenaan wajar untuk mengimbas detik bersejarah wujudnya institusi fatwa di negara ini.

    Ia adalah detik keramat, kerana sebelumnya negara tidak mempunyai mufti, sehingga pada 1 April 1962, kerajaan Johor telah bersetuju meminjamkan Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz menjadi mufti kerajaan Brunei selama tiga tahun iaitu sehingga 31 Mac 1965.

    Kemudian diperkenankan berkhidmat semula pada 8 Mac 1967 sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada 3 Februari 1993.

    Yang Berhormat Pehin berkata, sejarah lantikan mufti berhubung rapat dengan wawasan raja Brunei ke-28, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

    “Bagindalah pencetus kesedaran untuk melantik mufti, dengan warkah Baginda kepada Menteri Besar Brunei bertarikh 24 Januari 1961 dan pada April 1962 hasrat Baginda terkabul dengan Haji Ismail, pegawai pinjaman dari Johor menjadi mufti pertama Brunei Darussalam,” jelasnya.

    Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan doa dan Surah Yasin yang dikepalai oleh Ketua Istinbat, Haji Abdul Rahman bin Pengarah Haji Mokti.

    Majlis juga diserikan dengan penyampaian penghargaan kepada jemputan dan warga JMK dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh Pemangku Ketua Buhuth, Haji Mohd Sofian bin Awang Tengah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...