Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Duta Khas ASEAN perlu libatkan NUG, NUCC

    KUALA LUMPUR, 12 MEI – Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengulangi pendirian Malaysia bahawa Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar perlu melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) Myanmar.

    Beliau membuat gesaan itu pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Luar ASEAN hari ini di Washington D.C., menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) pada hari ini dan esok.

    Dalam catatan di laman Facebook rasminya hari ini, Saifuddin berkata beliau turut menyatakan sokongan padu Malaysia kepada Duta Khas, Prak Sokhonn yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Kemboja, dalam memenuhi mandatnya mengenai Konsensus Lima Perkara (5PC).

    5PC mengenai Myanmar diterima pakai pemimpin ASEAN pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN di Jakarta pada 24 April tahun lalu, antaranya menghentikan serta-merta keganasan di Myan-mar, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan dan duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu semua pihak yang berkenaan.

    Saifuddin turut menyuarakan kekesalannya terhadap tindakan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) tentera Myanmar yang tidak membenarkan Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Dr Noeleen Heyzer, untuk mengambil bahagian dalam proses itu.

    “Kita tidak seharusnya membenarkan SAC menentukan siapa yang akan diundang untuk mesyuarat berkaitan,” katanya. Beliau berkata usaha kemanusiaan untuk rakyat Myanmar harus merangkumi pertubuhan antarabangsa seperti Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dengan bantuan negara anggota ASEAN. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...