Wednesday, November 30, 2022
24 C
Brunei

-

‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’

KUALA LUMPUR – Gemaan ucapan ‘Terima Kasih’ Tun Abdul Razak di Great Hall of The People Peking (kini dikenali Beijing) sempena lawatan penuh bersejarah beliau ke negara tembok besar itu masih segar dalam ingatan walaupun hampir lima dekad berlalu.

Memilih berucap dalam Bahasa Melayu, perdana menteri kedua itu, pada kaca mata Prof Madya Obaidellah Mohammad Nasir ternyata berjaya menarik perhatian ratusan yang hadir di dewan besar itu untuk mula memberi tumpuan kepada negarawan Malaysia yang berada di hadapan mereka.

Malah lawatan Abdul Razak serta delegasinya berjaya merintis hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dan inilah antara jasa terbesar beliau sebagai perdana menteri, memandangkan dasar luar negara sebelum ini adalah antikomunis.

Sisi gambaran berhubung perwatakan perdana menteri kedua ini dikongsi Obaidellah, bekas Pensyarah Jabatan Pengajian Cina, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) yang berpeluang mengikuti rombongan Tun Abdul Razak ke Peking selama enam hari bermula 28 Mei 1974.

Biarpun sudah 48 tahun berlalu, memori erat tersemat di hati Obaidellah kerana tidak menyangka beliau dipilih menganggotai delegasi Malaysia ke Republik Rakyat China dengan dilantik menjadi penterjemah.

Prof Madya Obaidellah Mohammad (kiri) ketika menceritakan pengalamannya mengikuti rombongan ke Peking bersama Tun Abdul Razak pada Mei 1974 di Wisma Sejarah baru-baru ini. – Bernama

“Ketika ucapan Abdul Razak di Great Hall of The People, suasana malam 29 Mei itu hujan renyai-renyai dipenuhi dengan tetamu sangat ramai membuatkan saya terperanjat melihatnya dan saya juga masih ingat pada petang itu di Peking, beliau panggil saya.

“(Beliau) memberitahu pada jamuan negara malam ini (ketika itu) beliau mahu bercakap dalam Bahasa Melayu. Jadi, Abdul Razak kata pada saya, beliau cakap satu para (Bahasa Melayu) dan saya akan terjemah satu para (Bahasa Mandarin),” katanya yang ketika itu berkhidmat sebagai pembantu pensyarah di Jabatan Pengajian Cina, Universiti Malaya.

Bijak dan berani

Obaidellah, 77, yang berkongsi momen berkenaan semasa Siri Sembang-Sembang Sejarah Persatuan Sejarah Malaysia bertajuk ‘Pengalaman Mengikuti Rombongan Tun Razak Ke Peking’ di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, lawatan bersejarah Bapa Pembangunan Malaysia ke China disifatkan sebagai langkah berani dan tegas.

Program berkenaan diadakan bersempena mengenang 100 tahun kelahiran Allahyarham Tun Abdul Razak.

Ini memandangkan, situasi ketika itu adalah sangat tidak stabil berikutan perang Indochina masih lagi berlaku selain perang dingin juga turut muncul dengan perbezaan ideologi yang kuat dan pasukan keselamatan Malaysia juga pada ketika itu masih lagi berjuang menentang pemberontakan gerila komunis.

“Sejarah kepimpinan negarawan Tun Abdul Razak boleh dilihat sebagai berjaya mencetus revolusi politik, ekonomi dan sosial bangsa Melayu. Beliau menyedari bahawa ancaman komunis dalam negara yang terlibat dengan bantuan komunis China.

“Jadi, beliau mengambil langkah bijak dan memulakan dasar diplomatik dengan China yang mana beliau adalah pemimpin paling awal dalam negara ASEAN mengadakan hubungan diplomatik dengan China,” jelas Obaidellah.

Beberapa perbincangan dilakukan semasa pertemuan Abdul Razak bersama Perdana Menteri China, Chou En Lai, malah anak kelahiran Pekan, Pahang ini juga turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Mao Tsetung (Mao Zedong) serta membuat rundingan selama satu setengah jam bersama pemimpin besar China itu.

Dalam lawatan berkenaan, enam deklarasi dicapai kedua-dua pihak menerusi satu kenyataan bersama yang ditandatangani pada 31 Mei 1974 oleh Chou dan Abdul Razak, antaranya, persetujuan menubuhkan hubungan diplomatik, menjadikan Malaysia negara ASEAN pertama mewujudkan hubungan diplomatik dengan China.

“Selain itu, kerajaan China dan Malaysia juga bersetuju mempromosikan persahabatan kedua-dua belah pihak serta mewujudkan hubungan aman dan mesra antara kedua-dua negara serta mengamalkan dasar prinsip saling menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah,” katanya.

Penterjemah muda

Selama enam hari bersama pemimpin negara itu dalam misi penting berkenaan, Obaidellah menyifatkan Abdul Razak adalah seorang pemimpin unggul, bijaksana serta seorang yang berterus-terang ketika berhadapan dengan pemimpin asing.

Malah, beliau mampu menghadapi keadaan tertentu dengan tenang dan semasa perbincangan bersama pemimpin dan delegasi China, Abdul Razak sangat terbuka serta peka dengan perubahan politik antarabangsa dan interaksi ideologi komunis.

“Saya sifatkan beliau seorang pemimpin yang boleh menjadi teladan kepada anak bangsa,” katanya, menambah, peluang yang diperolehi untuk menyertai delegasi ke Tembok Besar itu sebagai penterjemah perdana menteri dalam usia muda 27 tahun, sebagai pengalaman amat berharga.

Mengimbau kenangan, Obaidellah berkata, permulaannya beliau dimaklumkan oleh Allahyarham Prof Diraja Dr Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid bahawa beliau terpilih untuk menjadi penterjemah kepada Tun Razak untuk lawatan ke China.

“Pada suatu hari Ungku Aziz memanggil saya secara tiba-tiba dan bertanya kepada saya setuju tak jadi penterjemah kepada perdana menteri. Saya berkata setuju dan boleh. Selepas itu saya menerima nota serahan daripada Wisma Putra berhubung perkara itu dan membuat urusan seterusnya,” katanya.

Masih terkenang lagi saat berada di lapangan terbang ketika mahu berangkat ke Peking, seorang pemberita dari akhbar Cina datang dan bertanya perdana menteri siapa yang memilih Obaideillah sebagai penterjemah dalam delegasi tersebut.

“Mengapa beliau dipilih? kata pemberita itu namun tangkas dijawab oleh Abdul Razak.. saya yang memilih beliau (Obaidellah),” kongsi penterjemah itu yang hanya tersenyum dan tidak menafikan rasa gementar menyeliputi diri namun bangga kerana dipilih sebagai penterjemah untuk delegasi ke China

Membangunkan secara holistik

Sesungguhnya Abdul Razak menanggung tanggungjawab yang besar ketika zaman pentadbirannya, demikian menurut Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Samsudin.

Beliau berkata, pentadbiran Allahyarham berdepan dengan pelbagai permasalahan termasuk isu kemiskinan, pendidikan serta isu masyarakat bukan Melayu.

Apa sahaja yang dilalui pemimpin itu saat pentadbirannya, beliau akan melihatnya secara lebih menyeluruh.

“Abdul Razak seorang pemimpin yang melihat sesuatu perkara secara holistik. Niat utamanya adalah untuk memakmurkan negara. Dalam usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat, beberapa usaha dilakukan Abdul Razak dan keutamaannya adalah memfokuskan bidang pendidikan kerana baginya pendidikan mampu menyelesaikan masalah kemiskinan,” katanya menambah, maka lahirlah dasar pendidikan dengan bermulanya Penyata Razak yang diasaskan pada tahun 1956.

Abdul Razak yang ketika itu memegang jawatan Menteri Pelajaran antara lain menggariskan beberapa perkara penting kepada dasar pendidikan negara dengan penyatuan semua kaum menggunakan satu kurikulum kebangsaan dan meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Menurut Mohd, Abdul Razak turut memajukan pendidikan dan membangunkan sekolah dengan peruntukan yang besar, membuka maktab perguruan serta menambah bilangan guru. Selain itu, beliau selaku ketua kerajaan juga melihat masalah ekonomi negara dengan pendapatan negara ketika itu yang tertumpu hanya kepada bahan mentah iaitu bijih timah dan getah.

“Pada masa itu bagi memperkembangkan ekonomi negara, Abdul Razak mencari rakan dagangan termasuk pergi ke negara Eropah Timur, China dan mencari pasaran baharu untuk menjual bahan mentah yang menjadi sumber kepada pendapatan negara ketika itu,” katanya.

Daripada segi perpaduan rakyat berbilang kaum, Mohd berkata, Abdul Razak sangat terkenal dalam usahanya menyatupadukan rakyat terutama selepas tragedi 13 Mei 1969. Abdul Razak adalah tunjang dalam pengukuhan perpaduan serta memainkan peranan penting dalam penubuhan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1971.

Abdul Razak berjaya membentuk gabungan sembilan parti politik di bawah payung BN menerusi satu sistem muafakat parti politik.

“Abdul Razak mengajak semua parti politik menyertai BN, mengajak pemimpin politik tinggalkan perkara lain dan fokus untuk membangunkan balik negara pada satu kesepaduan. Kita boleh lihat apabila parti Gerakan pimpinan Tun Dr Lim Chong Eu yang mana sebelum pilihan raya, parti itu berada di luar.

“Abdul Razak juga membawa parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk bergabung kerana baginya untuk membangunkan negara perlu ada kesefahaman. Apabila beliau membicarakan soal perpaduan, kita dapat lihat Abdul Razak tidak membeza-bezakan dan jawatan diberikan seadil-adilnya,” katanya.

Ruangan sisi

Abdul Razak dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada 11 Mac 1922. Meskipun dilahirkan dalam keluarga bangsawan namun beliau dibesarkan secara sederhana. Ayah beliau adalah Datuk Hussein Mohd Taib, Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang,

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Kampung Jambu, Langgar, Pekan, beliau memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1934 dan pada 1947, ketika berusia 25 tahun, beliau mendapat biasiswa kerajaan British untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di England.

Ketika berusia 28 tahun (1950), beliau menerima ijazah undang-undang dari Lincoln’s Inn. Sewaktu berumur 29 tahun, Abdul Razak dilantik sebagai Timbalan Presiden Umno. Setahun kemudian beliau dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Karier politik Abdul Razak terus menyinar apabila dilantik menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 33 tahun (1955).

Beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (perdana menteri pertama) selepas Parti Perikatan memenangi pilihan raya umum pertama pada 27 Julai 1955.

Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan. Beliau dilantik menjadi Perdana Menteri kedua pada 22 September 1970 dan sebagai menghargai jasa beliau dalam bidang pembangunan luar bandar dan negara, beliau diberi gelaran Bapa Pembangunan.

Antara yang dilaksanakan oleh Abdul Razak ialah pembangunan kawasan luar bandar dan masyarakat luar bandar menerusi Dasar Ekonomi Baru (dilancarkan pada pertengahan 1970). Selain penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), beliau turut mewujudkan konsep ZOPFAN atau dikenali sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali yang ditandatangani oleh Menteri Luar Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada 27 November 1971.

Abdul Razak berkahwin dengan Tun Rahah Mohamed Noah pada 4 September 1952 dan dianugerahi lima orang cahaya mata iaitu Datuk Seri Najib, Datuk Ahmad Johari, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Jutaan rakyat Bangladesh hilang tempat tinggal

DHAKA, 29 NOV – Berjuta-juta orang di Bangladesh hilang tempat tinggal dan mata pencarian akibat kesan perubahan iklim tahun ini hingga menyebabkan penghijrahan dalam negeri...

Polis kawal bandar utama China

- Advertisment -