Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Hidroponik vertikal pilihan bagi kawasan terhad

    Menanam sayuran menggunakan sistem hidroponik semakin menjadi tumpuan para petani sambilan mahupun sepenuh masa disebabkan ia cukup mudah untuk dilakukan.

    Hal ini terutama bagi mereka yang mempunyai kawasan rumah yang terhad atau kurang sesuai untuk bercucuk tanam. Selain sebagai hobi masa lapang, hasil daripada tanaman tersebut juga boleh dinikmati bersama atau menjana sedikit pendapatan daripada jualannya.

    Barangan yang perlu

    Sebelum memulakan langkah mereka sistem hidroponik ini, terlebih dahulu sediakan barangan seperti paip PVC berdiameter 4 inci dengan panjang 5 kaki, paip siku PVC berukuran ¾ inci, papan PVC berukuran 1 ¼ inci, baldi berukuran besar, pam air, alat penentu waktu, gam silikon, penutup paip PVC berukuran 4 inci, mesin gerudi, mesin jig, mata gerudi 1 ¼ inci, kertas pasir, brass fitting berukuran ½ inci x ½ inci dan ½ inci x ¼ inci.

    Proses pembuatan perlu perhatian

    Mulakan langkah pembuatan dengan menebuk lubang untuk menempatkan siku paip PVC pada bahagian permukaan paip PVC berukuran 4 inci. Terlebih dahulu tandakan kawasan di mana siku paip akan ditempatkan bagi memastikan ia teratur. Untuk itu awda perlu membahagi empat (menandakan garisan) pada permukaan paip menggunakan pen penanda. Setelah melakukannya, tandakan kawasan untuk setiap lubang dengan jarak 5 inci menggunakan pen penanda berwarna lain bagi proses menebuk.

    Ketika melakukan langkah menebuk permukaan paip, pastikan awda menetapkan kedudukan paip sama ada menggunakan pengepit ataupun meminta pertolongan seseorang untuk memegangnya. Gunakan mata gerudi berukuran 1 ¼ inci sesuai ukuran siku paip PVC yang digunakan.

    Bahagian tengah baldi perlu diletakkan dengan alat berupa plastik bulat untuk menstabilkan struktur PVC utama.
    Siku paip PVC ketika proses mencantumkannya menggunakan gam silikon.
    Salah satu teknik untuk melakar bentuk bulat pada permukaan papan PVC.
    Alat untuk menetapkan brass fitting hos pada bahagian atas bagi membolehkan air disalurkan.

    Jumlah keseluruhan siku paip yang digunakan di sini ialah 28 batang, jika awda inginkan lebih daripada itu, pastikan panjang paip PVC utama mencukupi (tidak terlalu rapat bagi setiap satu siku paip). Gam siku paip PVC menggunakan gam silikon dan pastikan kedudukan hujung siku paip menghadap ke atas.

    Langkah seterusnya melekatkan penutup paip PVC pada bahagian dalam baldi berfungsi sebagai alat untuk menstabilkan PVC utama ketika didirikan. Alat ini mungkin sukar untuk didapati terjual di kedai-kedai perkakasan namun awda boleh merekanya sendiri menggunakan pencetak 3D ataupun hanya menggunakan kayu keras berketebalan 2 hingga 3 inci.

    Menggunakan kayu dalam merekanya mempunyai kekurangan di mana awda perlu menggantinya dengan yang baru jika ia rosak disebabkan air. Namun perkara ini boleh diperlahankan dengan melindungi permukaan kayu menggunakan cat bebas bahan kimia.

    Lekatkan alat yang digunakan pada bahagian tengah baldi juga menggunakan gam silikon atau menggunakan gam paip bagi yang menggunakan alat berbentuk plastik.

    Papan PVC yang telah tersedia pada langkah ini akan dipotong sesuai ukuran bahagian atas baldi yang digunakan. Ukur diameter baldi yang digunakan menggunakan pita pengukur dan lakar bentuk bulatan pada permukaan papan PVC.

    Jika kompas berukuran besar tidak dimiliki, awda boleh menggunakan teknik mengikatkan tali pada pen penanda dengan bahagian hujung satu lagi diikatkan skru yang ditempatkan pada bahagian tengah papan. Tali yang digunakan di sini berfungsi sebagai panduan untuk pen kekal pada kedudukan ketika awda melakar bentuk bulatan.

    Satu lagi teknik, menggunakan sekeping papan berukuran 2 inci lebar dan panjang sesuai yang diperlukan, kekalkan bahagian hujung menggunakan skru atau paku pada bahagian tengah papan, manakala untuk menetapkan pen penanda, tebuk di mana kedudukan yang diperlukan menggunakan mata gerudi mengikut ukuran pen digunakan. Lubang yang ditebuk merupakan ruangan untuk mengekalkan kedudukan pen penanda yang digunakan bagi melakar bentuk bulatan. Potong papan tersebut menggunakan mesin jig.

    Manakala pada bahagian tengah papan PVC, ia juga akan ditebuk dengan bentuk bulatan sesuai dengan ukuran paip PVC yang digunakan. Setelah itu bahagian sisi papan tersebut akan ditebuk dengan dua lubang untuk menempatkan tali bagi memudahkan awda mengikatkan struktur rekaan pada bahagian baldi.

    Bagi pam air yang disediakan, ia akan disambung dengan hos dengan panjang melebihi sedikit daripada ukuran paip PVC utama. Pada bahagian bawah PVC (kedudukan dalam baldi) akan ditebuk bagi membolehkan hos dimasukkan. Dengan langkah tersebut awda kini boleh menempatkan pam air pada bahagian dalam baldi yang disambungkan dengan hos.

    Hos yang tersambung tersebut kemudiannya akan dimasukkan di bahagian dalam paip menerusi lubang yang ditebuk sebelumnya. Sebelum itu pastikan bahagian hujung hos dipasangkan dengan brass fitting berukuran ½ inci x ½ inci bagi menyambungkan pada bahagian pam dan hujung paip yang satu lagi dengan brass fitting berukuran ½ inci x ¼ inci.

    Untuk mengekalkan hos pada kedudukannya di bahagian atas PVC, awda perlu mereka bahagian khusus yang juga terbuat daripada plastik hasil cetakan 3D. Namun sama seperti langkah sebelumnya, jika pencetak 3D tidak dimiliki, gantikan dengan kayu berketebalan 2 hingga 3 inci dengan bahagian tengah ditebuk untuk menempatkan brass fitting hos, manakala bahagian sisinya ditebuk bagi mereka ruangan untuk membolehkan air mengalir semula ke bahagian baldi.

    Ini diikuti dengan menetapkan penutup paip pvc pada bahagian hujung struktur utama tanpa perlu menggunakan gam bagi memudahkan langkah penyelenggaraan nanti.

    Dengan keseluruhan langkah telah dilakukan, proses terakhir rekaan ialah mengisikan baldi dengan air dan menetapkan alat penentu masa pada waktu yang diperlukan.

    Menggunakan alat ini boleh memastikan penjimatan elektrik tanpa perlu pam air terpasang sepanjang masa. Menempatkan media tanam pilihan pada bahagian siku paip membolehkan awda untuk menanam benih sayuran yang telah tersedia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...