Sunday, May 19, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Hilang tempat tinggal, penduduk Iraq hidup serba kekurangan

    NASIRIYAH – Sedekad yang lalu, Nasser Jabbar dan anak-anaknya tinggal di sebuah rumah usang yang dibina daripada blok konkrit kelabu di sebuah bandar kecil di selatan Iraq.
     
    Kemarau yang melanda telah mengusir bapa kepada 10 orang anak itu keluar dari kawasan luar bandar, tempat dia menjadi penggembala dan petani, kepada kehidupan pengangguran dan kemiskinan di bandar.
     
    “Kami kehilangan tanah dan air,” kata bapa berusia 40an itu, yang memakai jubah putih tradisional.
     
    Dia bercakap kepada AFP di rumahnya di pinggir Nasiriyah, ibu kota wilayah Dhi Qar.
     
    Kawasan Jabbar merupakan contoh tipikal kemiskinan ekstrem yang dihadapi mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat perubahan iklim di selatan dan tengah Iraq. Dengan hujan yang semakin berkurangan, negara itu telah mengalami kemarau empat tahun berturut-turut.
    Nasser Jabbar dan anak-anaknya tinggal di sebuah rumah usang yang dibina daripada blok konkrit kelabu. – AFP
    Keadaan kawasan luar bandar yang serba kekurangan. – AFP
    Kanak-kanak Iraq bermain bola sepak. – AFP
    Kanak-kanak Iraq duduk di kawasan pinggir Nasiriyah. – AFP
    Di bandar kecil tempat dia tinggal, jalan retak dipenuhi runtuhan dan timbunan sampah yang dibuang oleh penduduk yang tinggal di tempat itu. 
     
    Di sebidang tanah kosong dikelilingi oleh bangunan cabuk, pembetung kosong kelihatan di kawasan terbuka ketika lembu berehat berhampiran dinding rumah.
     
    Seperti Jabbar, ramai daripada penduduk yang kehilangan tempat tinggal yang menetap di sini meninggalkan kampung mereka selepas bekerja dalam bidang pertanian.
     
    Sebelum ini di Gateia, kampung Jabbar di Dhi Qar, dia mengusahakan tanah seluas lima hektar bersama saudara-maranya.
     
    Pada musim sejuk, mereka akan menuai barli, manakala pada musim panas pula mereka akan menanam sayur-sayuran.
     
    Sebelum meninggalkan ladangnya buat kali terakhir, Jabbar melakukan apa yang dia mampu selama empat tahun untuk memerangi perubahan iklim.
     
    Dia menggali perigi, tetapi ‘sedikit demi sedikit airnya turun’ dan dia terpaksa menjual 50 ekor kambingnya satu demi satu.
     
    Setibanya di bandar, dia mendapat pekerjaan di tapak pembinaan. Di tempat tersebut dia perlu membawa batu-bata atau membancuh simen, tetapi akhirnya terpaksa berhenti kerana masalah sakit belakang.
     
    “Saya sudah tiga tahun tidak bekerja,” katanya.
     
    Kini dua orang anaknya, berusia 17 dan 18 tahun, menyara keluarga dengan membawa barangan ke pasar, dengan pendapatan kurang daripada empat dolar sehari.
     
    Walaupun Iraq adalah negara yang kaya dengan minyak, namun kemiskinan adalah perkara biasa bagi rakyatnya.
     
    Selain kemarau, pihak berkuasa menyalahkan empangan hulu yang dibina oleh jiran Iraq, Iran dan Turkiye kerana mengurangkan paras air secara mendadak di sungai Tigris dan Euphrates yang telah menyalurkan air kepada Iraq selama beribu-ribu tahun.
     
    Menjelang pertengahan September, ‘21,798 buah keluarga (130,788 individu) kekal tiada tempat tinggal kerana keadaan kemarau di 12 wilayah pentadbiran’ di tengah dan selatan Iraq. Sementara 74 peratus pelarian iklim menetap semula di kawasan bandar.
     
    Menurut IOM, 74 peratus daripada pelarian iklim menetap di kawasan bandar.
     
    Timbalan gabenor Dhi Qar yang bertanggungjawab dalam perancangan, Ghassan al-Khafaji, berkata kekurangan air yang membelenggu wilayah tersebut telah mengakibatkan penghijrahan dalaman yang ketara.
     
    Dalam tempoh lima tahun, 3,200 unit rumah telah dibina di pinggir bandar Nasiriyah, disebabkan penghijrahan dari kawasan paya selatan Iraq iaitu tempat yang paling terjejas akibat kemarau.
     
    Rumah berkenaan menempatkan ‘kira-kira 20,000 hingga 25,000 penduduk,” tambah Khafaji.
     
    Penghijrahan dalaman itu telah memberi tekanan tambahan kepada pekerjaan, setelah mengalami masalah pengangguran dalam kalangan golongan muda.
     
    Iraq telah dibelenggu konflik selama beberapa puluh tahun dan rasuah telah menjejaskan pentadbiran awam. Pusat-pusat bandar juga mengalami keadaan yang sama dengan kawasan desa.
     
    Thomas Wilson, pakar iklim dan air di Majlis Pelarian Norway berkata  pusat bandar tidak lagi mampu untuk menyediakan perkhidmatan asas kepada penduduk sedia ada disebabkan oleh infrastruktur yang terhad selain kekurangan dana.
     
    “Trend dalam pergerakan luar bandar ke bandar telah memberi beban tambahan ke atas infrastruktur yang merosot,” katanya.
     
    Beliau mengesyorkan pelaksanaan rancangan pengurusan sumber, tadbir urus dan pelaburan yang berkesan di wilayah di di mana penduduk berpindah, dalam dasar rangka untuk mengurangkan dan mencegah penghijrahan secara paksa.
     
    Di negara yang mempunyai penduduk sekitar 43 juta orang itu, hampir seorang daripada lima orang rakyat Iraq hidup di kawasan yang mengalami kekurangan air.
     
    Pada bulan April, laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan risiko terhadap gangguan sosial disebabkan faktor iklim.
     
    “Peluang ekonomi yang terhad untuk golongan muda di kawasan bandar yang sesak lebih berisiko meningkatkan diskriminasi dan ketidakadilan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kumpulan etnik-agama yang berbeza atau meningkatkan rungutan terhadap institusi negeri,” kata laporan itu.
     
    Qassem Jabbar, abang kepada Nasser, 47 tahun, menyertainya dalam perpindahan di Nasiriyah tiga tahun lalu.
     
    “Sejak kami pergi, saya tidak bekerja,” kata Qassem, pinggangnya diikat dengan kain selepas dia menjalani pembedahan belakang yang hanya mampu dibayar dengan bantuan penderma.
     
    Daripada 10 orang anaknya, hanya dua orang sahaja yang bersekolah disebabkan tidak mampu untuk menampung perbelanjaan yuran sekolah. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...