Sunday, May 19, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Pelaksanaan KBAT wajar dikaji semula

    KUALA LUMPUR – Tidak menghairankan jika di era ‘Eh, anak kau dapat berapa A?’ ini ramai ibu bapa begitu mengutamakan pencapaian anak mereka dalam persekolahan, hinggakan ada yang sanggup memarahi si anak jika gagal mencatatkan keputusan cemerlang sekalipun baru di Tahun Satu.

    Akan tetapi, sejak beberapa tahun belakangan ini, semakin ramai ibu bapa menuding jari kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kurikulum sebagai ‘dalang’ di sebalik kegagalan anak mereka mencatat prestasi cemerlang, khususnya bagi murid Tahap Satu, iaitu Tahun Satu hingga Tiga.

    “Memang timbul rasa nak marah bila anak tunjukkan markah ‘0’ pada kertas ujian Matematik. Saya ingatkan dia tak belajar, tapi apabila tengok soalan yang dikemukakan, rasa marah saya hilang diganti rasa kasihan,” kongsi seorang ibu kepada Bernama.

    “Contohnya, ada soalan minta murid nyatakan buah kegemaran mereka dan jumlah buah itu. Akan tetapi, tidak dinyatakan soalan berpandukan tiga gambar buah, iaitu epal, pisang dan oren. Anak saya gemar buah anggur, jadi pastinya jawapan dia bukan epal, pisang atau oren. Maka ‘0’ markah,” tambah penjawat awam yang mahu kekal sebagai tanpa nama itu.

    “Wahai KPM, tolonglah ubah ataupun kaji semula silibus Tahap Satu ini. Contohnya dalam subjek Bahasa Melayu, ada soalan-soalan yang memerlukan murid mencari makna tersurat dan tersirat sesebuah kenyataan. Saya yang dah tua pun sukar nak memahami bentuk soalan sebegini, bagaimana pula saya nak memahamkan anak saya yang baru berusia lapan tahun?” keluh seorang lagi ibu dalam laman sosial Facebook.

    Gambar Freepik

    Ketika dihubungi Bernama kemudian, wanita bernama Nur Hidayu Chi Hasin dan berusia 40 tahun itu, berkata anaknya kini hilang minat belajar, lebih-lebih lagi kerana si anak masih lemah dalam 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

    KBAT UNTUK JADI INSAN HEBAT

    KBAT diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2013, menggantikan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif yang digemblengkan dalam Kurikulum Kebangsaan sejak 1994.

    Bertujuan memupuk pemikiran aras tinggi sejak awal usia bagi memenuhi keperluan pendidikan zaman kini, pelaksanaan KBAT di Tahap Satu bagaimanapun dilihat oleh ibu bapa dan segelintir pihak berkepentingan sebagai kurang berkesan kerana tempoh tiga tahun itu sewajarnya ditumpukan pada 3M.

    Bernama meninjau beberapa buah prasekolah di sekitar ibu kota, merangkumi institusi kerajaan dan juga kendalian swasta, bagi merungkai ‘kejutan budaya KBAT’ yang dialami oleh anak-anak di Tahun Satu sekalipun telah dipersiap semasa di tadika.

    Menurut seorang guru prasekolah yang mahu dikenali sebagai Cikgu Sue, pendidikan awal kanak-kanak digubal berdasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KPM dan semestinya anak-anak terbabit turut diasuh berfikir di luar kotak.

    “Sedikit-sebanyak murid prasekolah turut didedahkan kepada KBAT. Misalnya semasa pembelajaran Sains Awal, belajar tentang anggota badan, murid ditanyakan mengapa manusia perlukan hidung dan mereka perlu ceritakan kegunaan hidung dalam kehidupan seharian selain daripada fungsi menghidu. Proses ini memerlukan murid berfikir secara kritis dan kreatif,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, KBAT di peringkat prasekolah dilaksanakan bagi meneroka kefahaman serta menguji tahap kemahiran berfikir murid, di samping menggalakkan pembelajaran dan pengajaran interaktif.

    Pengusaha sebuah tadika berkonsep Islamik di Cheras pula berkata di institusi itu, murid didedahkan kepada KBAT seawal usia lima tahun.

    “Lebih menarik, soalan-soalan KBAT, khususnya yang berkaitan subjek Sains, akan kita kaitkan dengan kebesaran dan kekuasaan Allah,” katanya yang mahu dikenali sebagai Puan Siti.

    JELMAKAN SEMULA LINUS

    Bagi menyelesaikan isu yang sudah berulang kali diuar-uar oleh pihak berkepentingan itu, Mohd Azizee yang juga Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia, mencadangkan agar pengaplikasian KBAT bermula dari murid Tahap Dua.

    “Biarkan murid Tahap Satu menguasai 3M sepenuhnya. Ini bertepatan dengan hasrat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sendiri yang mahu menekankan penguasaan 3M Tahap Satu ketika beliau menghadiri Majlis Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027, Disember lalu.

    “Oleh itu, saya berharap supaya sistem yang pernah diamalkan, iaitu Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dijelmakan kembali serta diberikan nafas baharu yang lebih segar dan memenuhi kehendak serta standard pendidikan terkini,” katanya.

    Menurut beliau, LINUS mampu melahirkan murid-murid celik 3M namun dihentikan pada 2019, diganti dengan sistem literasi yang digubal oleh sekolah masing-masing.

    “Jika kita lihat pencapaian terkini Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, kita dapati terdapat kemerosotan yang agak signifikan (dari segi penguasaan 3M). Boleh jadi antara puncanya ialah penutupan sesi persekolahan akibat COVID-19 yang membawa kepada kelemahan penguasaan asas 3M murid,” katanya.

    Lebih-lebih lagi kata beliau, setakat ini tidak ada pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani isu keciciran murid dalam pembelajaran akibat pelbagai faktor termasuk ponteng dan berhenti sekolah lebih awal kerana masalah kemiskinan.

    Katanya, beliau yakin pelaksanaan semula LINUS yang lebih segar, fleksibel dan komprehensif dapat mengembalikan keseronokan murid untuk belajar.

    Penggubalan Kurikulum 2027 bakal dilaksanakan sebagai sebahagian usaha KPM bagi merangka pelan pendidikan baharu Malaysia yang bakal tamat pada 2025. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...