Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    HK pertimbang sekatan, mayat-mayat bertindihan

    HONG KONG, 28 FEB – Hong Kong mungkin akan melaksanakan sekatan pergerakan ketat ala China yang mengurung orang ramai di rumah-rumah mereka, kata pihak berkuasa hari ini, dengan strategi sifar COVID-19 bandar itu musnah sementara mayat-mayat bertindihan di hospital-hospital.

    Dua tahun dasar sifar COVID-19 ketat mengekalkan koronavirus terkawal namun kemunculan mendadak varian Omicron telah mendedahkan bagaimana kecilnya usaha dilakukan oleh pihak berkuasa dalam persediaan mereka bagi penularan besar-besaran.

    Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam sebelumnya mengetepikan sekatan pergerakan seluruh bandar itu dan sebaliknya mengarahkan semua 7.4 juta penduduk untuk menjalani ujian pada Mac. Namun setiausaha kesihatan, Sophia Chan mengesahkan hari ini ia masih satu pilihan.

    Ditanya oleh penyampai di sebuah radio komersial sama ada sekatan pergerakan akan dilaksanakan, dia menjawab, ‘Tidak, kami masih lagi membincangkannya’.

    “Dari perspektif kesihatan awam, untuk membawa kesan baik syarat ujian universal, sebahagian besarnya kita perlu mengurangkan pergerakan orang ramai,” tambahnya.

    Komen Chan muncul sehari selepas Li Dachuan, seorang pegawai kanan dari tanah besar terlibat dalam pasukan petugas bersama dengan pihak berkuasa Hong Kong, menyifatkan sekatan itu sebagai ‘pendekatan terbaik dan paling ideal untuk mencapai kesan terbaik bagi ujian universal’.

    Pendedahan itu menambah ketidakpastian dan kebimbangan baharu kepada penduduk dan perniagaan di sebuah bandar yang dicengkam oleh sejenis huru-hara yang lebih mirip dengan permulaan pandemik.

    Hong Kong kini merekodkan 193,000 kes dengan 636 kematian pada gelombang ketika ini sejak 31 Disember.

    Hospital berada pada tahap kritikal selama berminggu-minggu dan pada Ahad para pegawai mendedahkan mayat bertindihan antara satu sama lain di hospital kerana bilik mayat sudah dipenuhi. – AFP

    Para pesakit di katil hospital menunggu di kawasan penempatan sementara luar Pusat Perubatan Caritas di Hong Kong pada 28 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...