Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Isu sembahyang ketika khatib di atas mimbar pada hari Jumaat

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan minggu lalu

    Bagaimanapun, jika dia takut apabila dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid itu dia akan terluput mengangkat takbiratul ihram bersama imam, misalnya bagi jemaah yang baru masuk masjid pada penghujung khutbah, ataupun ketika khatib sudahpun selesai daripada khutbahnya, ataupun ketika iqamah sudah dilaungkan, maka dalam hal ini, gugurlah tuntutan sunat ke atasnya untuk mendirikan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid bahkan makruh atasnya untuk mengerjakannya.

    Begitu juga makruh atasnya untuk duduk. Sebaliknya, adalah lebih baik dan sunat baginya berdiri sahaja bagi menunggu imam untuk menunaikan sembahyang fardhu Jumaat.

    Ini bagi mengelakkan dia duduk dalam masjid sebelum mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid.

    Begitu juga tidak lagi dituntut bahkan makruh atasnya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid sekiranya ketika dia masuk masjid itu sembahyang fardhu Jumaat sudah mula didirikan.

    Sekiranya jemaah yang datang lewat ke masjid pada penghujung khutbah itu tetap juga mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid, sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjidnya itu tetap sah. Dalam hal ini, menurut Imam Ibn Rif‘ah Rahimahullah, sunat ke atas khatib untuk memanjangkan sedikit khutbahnya sekira-kira hingga jemaah tersebut selesai mengerjakan sembahyangnya.

    Keadaan ini adalah bagi makmum yang dituntut atasnya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid. Adapun bagi yang tidak dituntut atasnya untuk mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid, umpamanya jika sembahyang fardu Jumaat itu dikerjakan bukan di masjid, sebagai contoh di sebuah kawasan lapang, balai ibadat, surau dan sebagainya, maka dalam keadaan ini tidak disyariatkan ke atasnya untuk mendirikan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid.

    Segala sembahyang yang dikerjakan oleh jemaah yang baru masuk masjid ketika khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar hendaklah dikerjakan sebanyak dua rakaat sahaja, jika dikerjakan lebih daripada itu maka ia tidak sah. – Gambar fail

    Dalam hal ini, dia boleh terus duduk tidak kira sama ada pada ketika dia datang ke tempat didirikan sembahyang fardu Jumaat itu khutbah sudah mula dibacakan ataupun belum.

    Maksud Takhfif dalam mengerjakan sembahyang Sunat Tahiyyat al-Masjid ketika khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar

    Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa sebaik sahaja khatib naik dan duduk di atas mimbar, segala sembahyang yang sedang dikerjakan pada ketika itu, begitu juga sembahyang yang dikerjakan oleh jemaah yang baru masuk masjid pada waktu tersebut mahupun sepanjang khutbah dibacakan, wajib dikerjakan secara takhfif.

    Takhfif pada dasarnya bermaksud ringkas ataupun ringan.

    Menurut satu pendapat yang dinukilkan daripada Imam Az-Zarkasyi Rahimahullah, takhfif dalam sembahyang ini bukanlah bermaksud mempercepatkan sembahyang, akan tetapi ia bermaksud membataskan dalam menunaikan sembahyang itu kepada perkara-perkara yang wajib sahaja.

    Manakala menurut pendapat yang paling awjah pula, sepertimana yang disebutkan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj, maksud takhfif ialah tidak memanjangkan sembahyang.

    Oleh itu, berdasarkan pendapat ini, Imam asy-Syibramallisi Rahimahullah berpendapat bahawa bolehlah dibaca sebarang surah pendek selepas membaca surah al-Fatihah.

    Pensyariatan takhfif ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Telah datang Sulaik al-Ghathafani pada suatu hari Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah, lalu dia (terus) duduk.

    Maka Baginda pun bersabda kepadanya: “Wahai Sulaik! Bangunlah dan dirikanlah sembahyang dua rakaat dan kerjakanlah ia secara ringan (ringkas)”.

    Kemudian Baginda bersabda lagi: “Apabila seorang daripada kamu hadir untuk (sembahyang) Jumaat padahal imam sedang berkhutbah, maka kerjakanlah sembahyang dua rakaat dan hendaklah ia mengerjakannya secara ringan (ringkas).” (Hadis riwayat Imam Muslim)

    Sembahyang apa yang boleh dikerjakan ketika masuk masjid sewaktu khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar?

    Menurut ulama, selain daripada sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid, jemaah yang baru masuk masjid ketika khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar boleh mengerjakan sembahyang sunat Qabliyah Jumaat jika ia belum dikerjakan.

    Maka dalam hal ini, adalah lebih utama sembahyang sunat Qabliyah Jumaat itu disatukan niatnya bersama sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid dalam satu sembahyang dan dikerjakan sebanyak dua rakaat.

    Jika orang itu hendak mengerjakannya dengan satu niat sahaja maka adalah lebih awla diniatkannya sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid sahaja.

    Ini kerana sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid akan luput jika tidak dikerjakan sebelum duduk.

    Adapun sembahyang sunat Qabliyah Jumaat pula, ia masih boleh dikerjakan sekalipun selepas sembahyang fardhu Jumaat, bahkan boleh juga diqadha jika dikerjakan di luar waktu.

    Selain itu, jika seseorang itu mempunyai sembahyang untuk diqadha, boleh juga dikerjakan sembahyang qadha yang jumlahnya dua rakaat seperti sembahyang qadha Subuh.

    Apa yang harus diingat dalam hal ini, segala sembahyang yang dikerjakan oleh jemaah yang baru masuk masjid ketika khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar hendaklah dikerjakan sebanyak dua rakaat sahaja.

    Jika dikerjakan lebih daripada itu maka ia tidak sah.

    Bagaimanapun, dikecualikan dalam hal ini sekiranya orang itu ragu-ragu sama ada dia baru mengerjakan satu rakaat atau sudah dua rakaat.

    Dalam hal ini, sunat dia menambah satu rakaat lagi sebagai rakaat kedua kerana menurut hukum asal, dia dikira baru mengerjakan satu rakaat kerana keraguannya itu.

    Demikian beberapa penjelasan mengenai orang yang datang ke masjid ketika khatib sudahpun naik dan duduk di atas mimbar.

    Apa yang perlu diingatkan di sini, bagi mereka yang tidak ada apa-apa kesusahan ataupun halangan untuk datang awal ke masjid bagi menghadiri perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat, seeloknya berusaha semampu yang boleh untuk hadir sekurang-kurangnya sebelum khatib naik dan duduk di atas mimbar.

    Segala ganjaran yang dijanjikan sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah lebih daripada cukup sebagai penggalak supaya lebih awal datang ke masjid semasa perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat.

    Jemaah yang datang lewat ke masjid semasa perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat sehingga melewati waktu tersebut adalah orang-orang yang sangat rugi.

    Ini kerana para Malaikat yang khusus bertugas mencatat kelebihan datang awal ke masjid pada hari Jumaat itu menghentikan catatannya sebaik sahaja khatib naik dan duduk di atas mimbar kerana para Malaikat hendak sama-sama mendengar khutbah sepertimana yang ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang telah dinyatakan sebelum ini.

    Mereka yang datang lewat ini hanya akan tercatat dalam senarai orang-orang yang hadir mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat semata-mata, tetapi tidak tersenarai dalam orang-orang yang mendapat kelebihan seolah-olah berkorban seekor unta atau sapi atau kambing atau lainnya sepertimana yang dinyatakan dalam hadits yang disebutkan sebelum ini.

    Selain terlepas segala fadhilat datang awal ke masjid, orang-orang yang datang lewat ke masjid semasa perhimpunan sembahyang fardhu Jumaat juga adalah orang-orang yang sangat rugi kerana mereka juga terlepas daripada mendengar dan menghayati khutbah yang penuh dengan ilmu, nasihat, teguran, peringatan serta pengajaran yang penting dan berguna.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...