Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Jumlah subsidi kerajaan dijangka meningkat

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Jumlah subsidi kerajaan dijangka meningkat susulan trend kenaikan harga petrol namun jumlah subsidi ini ditetapkan setelah dikira setiap suku tahun yang dianggarkan mencecah ratusan juta dolar sepanjang tahun.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjelaskan perkara itu semasa sesi soal jawab pada sidang media harian COVID di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Menurutnya, perkiraan setiap suku tahun dibuat sejak dahulu lagi dan sebelum berlakunya COVID serta peningkatan drastik harga minyak seperti ketika ini.

    “Baru-baru ini, trend harga minyak sudah meningkat sehingga mencapai AS$117 setong maka perkara ini sewajarnya akan meningkatkan lagi jumlah subsidi kerajaan. Namun setakat ini, belum dapat lagi ditetapkan kadar jumlah subsidi terkini disebabkan perlunya perkiraan bagi setiap suku tahun,” jelasnya.

    Menyentuh kadar subsidi produk beras terkini, Yang Berhormat Dato menjelaskan ia tidak dapat dianggarkan secara langsung kerana ia tertakluk kepada harga semasa yang ditetapkan oleh para pengeksport barangan asasi berkenaan ke negara ini. Perkara tersebut disebabkan faktor-faktor tertentu seperti berlakunya kemarau di negara pengeksport sehingga kadang-kala adanya kenaikan harga yang ditetapkan.

    Kadar subsidi ini, jelas Yang Berhormat Dato bukan hanya tertumpu minyak petrol dan beras semata-mata, bahkan keperluan komoditi lain seperti elektrik dan air juga akan terus menerima subsidi daripada pihak kerajaan.

    Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar bertanggungjawab dalam penggunaan apa sahaja keperluan asasi dalam kehidupan sehari-hari agar tidak berlaku pembaziran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...