Friday, March 31, 2023
27.2 C
Brunei

-

JWD anjur kempen kebersihan untuk kumpul dana

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 1 MAC – Seramai 21 pegawai, pekerja tempatan, dan kakitangan sokongan dari Bahagian Perang Hutan (JWD) British Forces Brunei (BFB) di Medicina Lines, Seria telah memulakan kempen pembersihan selama dua hari di sepanjang Jalan Labi sebagai usaha untuk mengumpul dana bagi membantu salah seorang ahli mereka yang sedang mengalami masalah kesihatan.

Kempen tersebut bermula dari sepanjang Jalan Labi sehingga ke kawasan luar bandar Belait.

Pegawai Pemerintah JWD, Mejar Lalitbahadur Gurung, menjelaskan bahawa kempen pembersihan yang bertajuk ‘Ex Jalan Labi’ merupakan peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang usaha semasa dalam mengumpul dana bagi salah seorang ahli mereka yang memerlukan.

“Awang Mohd Aspamee bin Hamadi adalah seorang penyelenggara stor kanan yang bekerja dengan JWD sejak 2 Oktober 2006. Malangnya pada tahun lepas (bulan Ogos), beliau mengalami masalah jantung koronari dan penilaian doktor menyatakan beliau hanya mempunyai jangka masa hidup yang sangat singkat,” ujarnya.

Beliau turut menambah bahawa disebabkan pengambilan ubat yang kuat, Awang Mohd Aspamee juga mengalami masalah buah pinggang dan institusi kesihatan tempatan tidak dapat menjalankan pembedahan besar seperti itu di Brunei.

Gambar ramai semasa kempen kebersihan di Jalan Labi, kelmarin.

“Beliau merancang untuk melakukan rawatan di tempat lain atas risiko sendiri tetapi beliau tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melakukannya.”

Mejar Lalitbahadur menyatakan bahawa kempen pengumpulan dana itu telah mencapai lebih daripada 81 peratus dan mereka berusaha untuk mencapai matlamat terakhir mereka sebanyak £6,000.

“Hampir 17 tahun dengan Pasukan Latihan Brunei (TTB) kini JWD. Sejak itu, beliau menjadi sebahagian daripada keluarga kami sendiri. Beliau adalah individu yang penting, sebahagian daripada JWD yang memberikan sokongan segera kepada semua kakitangan dan anggota perkhidmatan di seluruh BFB, tanpa meminta apa-apa balasan.

“Beliau telah berusaha gigih untuk mengikuti semua kursus yang diperlukan dan sedang menggunakan pengalaman yang diperolehnya untuk menyokong hasil kerjanya. Sepanjang bertahun-tahun, beliau sentiasa bersedia dihubungi pada bila-bila masa dan sangat gembira melaksanakan tugasnya dengan cemerlang,” tambahnya.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Otai impi meluncur ombak hingga usia 100

FUJISAWA, JEPUN, 30 MAC – Seorang warga emas membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti meluncur ombak. Seiichi Sano mula meluangkan...
- Advertisment -