YEREVAN, 19 JAN – Kebakaran semalaman yang berlaku di berek unit tentera Armenia menyebabkan 15 askar maut dan tiga lagi dalam keadaan serius, menurut kementerian pertahanan negara itu kelmarin.
“Berdasarkan maklumat awal, 15 anggota tentera terbunuh akibat kebakaran yang berlaku di berek jurutera dan sebuah unit penembak hendap tentera. Manakala, keadaan tiga anggota tentera itu dinilai serius,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menurut kementerian, kebakaran berlaku sekitar jam 1:30 pagi Khamis di kampung Azat di wilayah Gegharkunik, timur Armenia.
Ia berkata punca kebakaran masih belum diketahui.
Pada Ogos lalu, puluhan orang terbunuh dalam satu letupan dan kebakaran berikutnya di pasar yang sibuk di ibu kota Armenia, Yerevan.
Negara Caucasus dengan kira-kira tiga juta penduduk itu masih belum pulih daripada perang 2020 dengan Azerbaijan, yang berakhir dengan kekalahan teruk dan mencetuskan krisis politik.
Walaupun pertempuran berskala besar telah tamat, ketegangan masih berterusan antara negara-negara bekas Soviet itu. – AFP