Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Kekecohan Tenom: Peter Anthony ditahan bantu siasatan

    KOTA KINABALU, 6 NOV – Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony ditahan di sini tengah malam tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Tenom semalam.

    Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis pagi ini.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata pihaknya sedang menyiasat insiden itu di bawah Seksyen 24A(2) Akta Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan lanjut pihak polis seterusnya membawa kepada tangkapan Datuk Peter Anthony bagi membantu siasatan.

    “Siasatan dan dokumentasi polis berjalan dengan lancar dan beliau diberi (dibebaskan dengan) jamin polis pagi ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini. Peter ditahan ketika hadir di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Karamunsing di sini.

    Semalam, tular di media sosial rakaman video kejadian kekecohan di luar pusat penamaan calon itu yang menunjukkan sekumpulan individu, dipercayai penyokong KDM, merusuh sehingga memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata.

    Idris dilaporkan berkata kekecohan itu berpunca daripada penolakan pencalonan Peter oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dengan alasan beliau masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...