Tuesday, September 26, 2023
25.6 C
Brunei

    -

    Kepelbagaian kulinari istimewa Turkiye

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Jika awda memang seseorang yang meminati dunia kulinari dan gastronomi, setentunya akan menimbulkan keinginan untuk mencuba dan merasai sendiri apabila mendengar keunikan pelbagai masakan baharu khususnya dari luar negara.

    Sebut sahaja pelbagai makanan luar negara tersebut tidak kira sama ada masakan Cina, Barat, Timur Tengah dan sebagainya namun apa yang pasti tujuan utama awda untuk menimbulkan pengalaman tersendiri di samping menambah pengalaman dan pengetahuan mengenai kulinari.

    Baru-baru ini, sebuah festival yang mempromosikan makanan-makanan khas Turkiye yang disediakan  langsung oleh tukang-tukang masak dari Turkiye yang dinamakan sebagai Festival Minggu Kebudayaan dan Kulinari Turkiye telah diadakan di Hotel Radisson di ibu negara.

    “Selepas lebih daripada setahun beberapa acara terjejas, kami gembira mendapat peluang ini untuk bekerjasama dengan Kedutaan Republik Turkiye dan mencipta momen makan yang menyeronokkan untuk tetamu kami. 

    “Kami teruja untuk mempromosikan makanan dan budaya Turkiye kerana ini akan memberi peluang untuk semua orang merasai rasa Turkiye di Brunei,” kata Pengurus Besar Hotel Radisson Brunei Darussalam, Miriam Wolber.

    Chef Adem Can dan Miriam Wolber ketika berkesempatan ditemui penulis semasa festival berkenaan.
    Festival itu menawarkan pelbagai hidangan istimewa Turkiye yang disediakan oleh Cef Adem Can untuk meningkatkan lagi keaslian perisa.
    Antara makanan yang terdapat pada festival tersebut.
    Salah satu hidangan Turkiye yang menarik perhatian penulis semasa festival itu.
    Kebab Turkiye adalah salah satu hidangan tradisional dan biasa ditemui di Turkiye, yang mana dagingnya diperap selama tiga hari.

    Festival yang diadakan bermula pada 28 Oktober hingga 5 November lalu itu menawarkan pelbagai hidangan istimewa Turkiye yang disediakan oleh Cef Adem Can untuk meningkatkan lagi keaslian perisa.

    Antara menu yang boleh didapatkan di sana termasuklah Turkish Humus, Dalyan Kofte (Meatball Rolls with Puree), Ispanakli Tavuk Sarma (Spinach Stuffed Chicken), Revani (Sweet Semolina Pastry dengan kacang), Sutlu Incir Tatlisi (pencuci mulut dengan susu) dan banyak lagi.

    “Hidangan yang disajikan pada asasnya adalah daripada resipi tradisional kami dan juga mengikut buku yang disediakan oleh Wanita Pertama, Emine Erdogan yang baru-baru ini menerbitkan buku masakan tradisional Turkiye.

    “Menu yang diilhamkan oleh buku ini menemui awda dengan hidangan tradisional Turkiye di sini. Hidangan tradisional Turkiye ini adalah sejenis keharmonian campuran dari wilayah Bulkan, Timur Tengah dan Kaukasia kerana masakan Turkiye adalah campuran dan mempunyai rasa dari semua wilayah ini.

    “Kebab Turkiye adalah salah satu hidangan utama kerana ini adalah sesuatu yang sangat tradisional dan biasa ditemui di Turkiye. Ia diperap khas dan disediakan selama tiga hari, dan ini adalah sesuatu yang ingin saya ketengahkan.

    “Ia adalah sejenis penggoda kepada apa yang ada di Turkiye, dan jika awda benar-benar ingin menikmati lebih banyak lagi makanan Turkiye yang sensasi dan lebih pelbagai, awda juga boleh pergi ke Turkiye untuk mendapatkan lebih banyak lagi,” jelas Chef Adem Can semasa ditemui Media Permata pada festival tersebut.

    Apa yang menarik lagi semasa festival itu juga ialah para pengunjung yang membuat pembayaran menggunakan kad Bank Baiduri, mereka akan menikmati penjimatan sehingga 20 peratus dan semua orang akan berpeluang memenangi tiket penerbangan pergi balik dengan Turkish Airlines ke Istanbul.

    Semasa menikmati makan malam pada Festival Minggu Kebudayaan dan Kulinari Turkiye  tersebut, orang ramai juga berpeluang menyaksikan pelbagai pameran kebudayaan Turkiye khususnya dalam seni lukisan di samping turut dihiburkan dengan persembahan alunan tiupan seruling khas Turkiye sambil menikmati sajian makan malam yang cukup istimewa.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun lulus ubat Alzheimer oleh Eisai & Biogen

    TOKYO, 26 SEPT - Kementerian kesihatan Jepun pada kelmarin meluluskan pengeluaran dan penjualan ubat untuk penyakit Alzheimer yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Jepun Eisai...