Saturday, April 27, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Kes suplemen Jepun: 2 maut, lebih 100 masuk hospital

    TOKYO, 27 MAC – Dua kematian dan lebih 100 dimasukkan ke hospital telah dikaitkan dengan kebimbangan kesihatan yang semakin meningkat di Jepun mengenai suplemen diet yang bertujuan untuk menurunkan kolesterol, kata kerajaan hari ini.

    Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan selepas pil yang dijual di pasaran itu ditarik balik oleh syarikat farmaseutikal Jepun, Kobayashi Pharmaceutical berikutan aduan masalah buah pinggang daripada pelanggan.

    Syarikat itu telah menarik balik tiga jenama suplemen – ‘beni koji choleste help’ dan dua produk lain – yang mengandungi bahan yang dikenali sebagai beras yis merah, atau ‘beni koji’.

    Kajian perubatan menggambarkan beras yis merah sebagai alternatif kepada statin untuk menurunkan kolesterol tinggi, tetapi juga memberikan amaran tentang risiko kerosakan organ bergantung kepada komposisi bahan kimianya.

    ‘Jumlah kematian yang disyaki sekarang adalah dua’, manakala ‘106 orang dimasukkan ke hospital yang mungkin juga berkaitan telah dikenal pasti’, kata jurucakap tertinggi kerajaan, Yoshimasa Hayashi kepada wartawan.

    Pengeluar suplemen itu, Kobayashi Pharmaceutical, menjual pelbagai jenis produk kesihatan yang dipasarkan melalui iklan televisyen di Jepun dan telah memberikan amaran bahawa ia belum mencapai kesimpulan mengenai hubungan antara masalah kesihatan dan produknya.

    Ia juga telah membekalkan beras yis merah kepada kira-kira 50 firma lain di Jepun dan dua di Taiwan, kata syarikat yang berpangkalan di Osaka itu.

    Kobayashi memberitahu AFP ia menyedari dua kematian yang mungkin berkaitan dengan suplemen yang ditarik balik secara sukarela pada Jumaat lalu, tetapi enggan mengulas lanjut. – AFP

    Kilang Kobayashi Pharmaceutical dilihat di Osaka, Jepun pada 26 Mac. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...