Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    TB: Pemakaian pelitup muka disyorkan

    JAKARTA, 27 MAC – Sebagai reaksi kepada laporan tahun lepas mengenai 60,420 kes batuk kering atau tibi (TB) di ibu kota, Pejabat Kesihatan Jakarta menyarankan orang ramai memakai pelitup muka di tempat yang sesak bagi mengurangkan risiko penularan penyakit itu.

    Ketua pejabat itu, Ani Ruspitawati menegaskan kuman TB boleh kekal di udara selama beberapa jam apabila seseorang yang dijangkiti TB, batuk atau bersin tanpa menutup mulut mereka.

    “Kuman ini boleh tersebar ke udara dalam bentuk titisan,” katanya seperti dipetik oleh agensi berita Antara.

    Ani juga menasihatkan individu yang mengalami gejala seperti batuk berterusan, demam, hidung berair dan penurunan berat badan untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

    Gejala lain yang perlu diberi perhatian termasuk hemoptisis (batuk berdarah), hilang selera makan dan berpeluh pada waktu malam tanpa terlibat dalam banyak aktiviti.

    Gambar Freepik

    Indonesia merupakan negara kedua paling terjejas akibat batuk kering di dunia, mengekori rapat India dan diikuti China, menurut Laporan TB Global 2023.

    Dengan anggaran 1.06 juta kes, Indonesia berdepan ancaman TB yang ketara, mencatatkan kira-kira 134,000 kematian setiap tahun, seperti yang dinyatakan dalam laporan itu.

    Kementerian Kesihatan melaporkan peningkatan kes TB kepada 820,789 tahun lepas, tertinggi sejak tahun 1995, termasuk 134,528 kes yang didiagnosis pada kanak-kanak, meningkat daripada 724,000 kes pada tahun 2022.

    Sementara itu, Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) hari ini berikrar untuk menyediakan rawatan pencegahan TB kepada 145,070 orang di Indonesia, bernilai AS$1.52 juta.

    Agensi itu telah menyumbang AS$4.7 bilion sejak tahun 2000, membantu menyelamatkan lebih 75 juta nyawa dalam memerangi TB di seluruh dunia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...