Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Keunikan karya menggunakan kayu

    Oleh Amri HTZ

    Teknik menghasilkan seni merupakan suatu yang pelbagai mengikut pendekatan yang digunakan oleh seorang pengkarya tersebut.

    Selain karya konvensional yang menggunakan pensel, pen atau pewarna untuk menghasilkan karya lukisan, sesetengah daripada pengkarya turut menggunakan barangan terpakai, plastik, besi mahupun kayu bagi melakukannya. Hasil daripada teknik tersebut, ia telah menghasilkan karya yang luar daripada kebiasaan dan ini mampu menarik mata yang memandangnya.

    Perlu persediaan awal

    Projek kali ini akan menghasilkan karya lukisan dinding yang terbuat daripada papan lapis. Karya yang dihasilkan akan merujuk kepada gambaran sebuah gunung di mana seni sedemikian semakin popular digunakan untuk menghiasi sesebuah ruangan dalam rumah terutamanya dinding.

    Oleh itu bagi mengikuti langkah rekaan ini, awda perlu menyediakan barangan seperti sekeping papan lapis berukuran 4’ x 8’ dengan ketebalan 12mm, gam kayu, mesin pemotong kayu, pita perekat, berus cat, wood finish, wayar atau tali menggantung bingkai karya, paku dan alat air nailer pneumatik, berukuran 1 inci, mesin router, pengepit kayu, pita pengukur, pensel penanda dan sesiku atau pembaris.

    Panduan bagi rekaan

    Sebelum memulakan proses mengukur dan memotong papan lapis yang disediakan, terlebih dahulu lakar gambaran yang hendak dijadikan seni. Dalam projek ini akan mereka gambaran sebuah kawasan pergunungan secara ringkas. Apabila ia telah dilakar, ia kemudiannya akan dibahagikan (direka garisan sebagai sempadan) kepada tiga dengan bahagian kedua-dua sisi berukuran lebih kecil daripada bahagian tengah.

    Langkah melakar permukaan papan menggunakan sesiku untuk memudahkan proses merekanya.
    Gambaran gunung yang dilakar pada sekeping kertas yang kemudiannya dibahagikan kepada tiga untuk rekaan.
    Kepingan papan lapis yang telah dipotongkan dengan ukuran diperlukan menggunakan mesin pemotong kayu meja.
    Kepinagn strip papan lapis yang telah dicantumkan menggunakan gam kayu dan paku air nailer pneumatik.

    Setelah melakukannya, tentukan ukuran yang hendak direka pada papan lapis yang disediakan di mana dalam projek ini, dua papan lapis berukuran 12’’ x 24’’ dan sekeping 24’ x 24’ akan dipotongkan menggunakan milter saw yang kemudiannya akan dijadikan panel atau latar utama rekaan.

    Bagi bahagian luaran bingkai, lebihan papan lapis akan dipotong dengan ukuran 14” x 1 ½” untuk enam keping dan 26” x 1 ½” juga enam keping. Potongan bahagian hujung kayu perlulah berbentuk 45 darjah bagi memudahkan proses cantuman dan menambah baik hasil rekaan.

    Sementara bagi pemotongan kepingan strip papan lapis yang dijadikan lakaran gunung geometri, lebihan papan lapis tersedia akan dipotongkan dengan lebar ¾”. Dengan melakukannya, potongan tersebut akan sedikit tenggelam berbanding kayu bahagian luaran bingkai sebelumnya.

    Panjang kepingan strip papan lapis ini tidak dapat ditentukan sebelum awda melakar pada papan utama (panel dipotong sebelumnya) dengan gambaran yang dilakar sebelumnya pada langkah pertama sebagai panduan.

    Langkah paling mudah untuk melakar gambaran gunung geometri ialah menggunakan sesiku. Bentuk 90 darjah akan dikekalkan bagi keseluruhan gambaran lapisan gunung bagi memudahkan proses rekaan, pemotongan dan mencantumkan kepingan strip papan lapis nanti. Mulakan dengan melakar gambaran gunung yang paling kecil di bahagian hadapan atau bawah papan diikuti dengan ukuran yang lebih besar pada bahagian belakang atau atas.

    Selesai melakarkan bentuk gunung menggunakan pensel penanda, kini awda boleh memulakan langkah mencantumkan kayu bahagian luaran bingkai menggunakan gam kayu dan air nailer pneumatik pada bahagian cantuman. Kayu berukuran 14” x 1 ½” akan ditempatkan pada bahagian atas dan bawah bingkai sementara kayu 26” x 1 ½” pada kedua-dua bahagian sisi bingkai. Ketika siap dicantumkan, langkah se-terusnya ialah mengukur setiap garisan yang telah dilakar pada permukaan papan tersebut yang kemudiannya dicatat pada sekeping kertas sebagai rujukan.

    Jika kerja mencatat satu persatu pada sekeping kertas dirasakan membebankan, cukup hanya mengukur dan memotong satu persatu kepingan strip papan lapis dengan mencantumkannya terus pada papan tersebut menggunakan gam kayu dan paku air nailer pneumatik.

    Namun perlu diingat, setiap cantuman bagi gambaran gunung tersebut perlulah dipotong dengan sudut 45 darjah sesuai dengan kedudukannya sama ada bertentangan ataupun dalam kedudukan sama. Semua sudut potongan ini perlu diambil perhatian agar tiada pembaziran berlaku semasa prosesnya.

    Penggunaan paku air nailer refill yang cukup nipis penting dan amat disarankan bagi memastikan ia tidak terlalu ketara untuk dilihat. Selain itu lelehan gam kayu pada setiap cantuman perlu dibersihkan segera menggunakan kain lembap memandangkan ia sukar untuk dibuangkan ketika mengering dengan ruang yang amat terhad.

    Selain mengisikan bahagian gunung dengan kepingan strip papan lapis, bahagian atasnya atau latarnya akan diisikan dengan kepingan strip yang sama dengan keadaan tegak agar rekaan tidak tampak terlalu kosong. Cuma pada kali ini kepingan strip dengan permukaan ¾” akan ditempatkan dalam keadaan terbaring, bertentangan dengan teknik yang digunakan untuk gunung.

    Setelah keseluruhan lakaran telah dicantumkan dengan kepingan strip kayu, biarkan gam yang digunakan untuk mengering selama 24 jam sebelum menyapukan keseluruhan permukaan kayu menggunakan wood finish pilihan. Langkah tersebut mampu melindungi kayu yang digunakan selain memberikan warna berlainan mengikut wood finish yang digunakan. Lebih kurang dua hingga tiga lapisan diperlukan dengan setiap lapisan perlu diberikan masa untuk mengering sebelum lapisan seterusnya diberikan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...