Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Khatam 38 kali seluruh negara sempena Hari Kebangsaan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran 38 kali sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 tahun 2022 secara serentak di keempat-empat daerah.

    Acara yang diadakan secara hibrid ini melibatkan lebih 1,000 orang, di mana seramai 38 orang hadir secara fizikal di setiap masjid di keempat-empat daerah dan lebih 850 peserta mengikuti majlis tersebut secara maya melalui pautan Zoom dan siaran langsung melalui Instagram dan Facebook KKBS.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis tersebut diadakan di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Kampung Mulaut.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan pegawai-pegawai kanan dari KKBS.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri majlis tersebut di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Kampung Mulaut. – Gambar serahan KKBS

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran mulai daripada Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad yang diketuai oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd Salleh dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran yang diketuai oleh mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Doa Khatam pula dibacakan oleh naib johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2021, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dan diikuti dengan Dikir Marhaban daripada mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Selamatkan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Awang Haji Khairul bin Haji Mohd Said dan seterusnya solat fardu Zohor berjemaah.

    Manakala di Daerah Belait, majlis seumpamanya telah diadakan di Masjid Zainab, Lumut.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigadier Jeneral (U) Haji Alirupendi bin Haji Perudin.

    Di Daerah Tutong pula, majlis telah diadakan di Masjid Haji Abdul Azim, Kampung Luagan Dudok. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah  Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

    Sementara di Daerah Temburong, majlis yang diadakan di Masjid Kampung Belais dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis Khatam Al-Quran 38 kali tahun ini melibatkan mahasiswa dan mahasiswi institut pengajian tinggi, penuntut-penuntut dari institut pendidikan teknikal Brunei, penuntut-penuntut sekolah menengah dan sekolah arab, ahli-ahli persatuan pergerakan belia dan sukan serta pegawai dan kakitangan dari agensi kerajaan dan swasta.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...