Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Kibar bendera meriahkan suasana perkahwinan diraja

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Sehubungan dengan Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja, semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dikehendaki untuk mengibarkan bendera negara mulai daripada pembukaan Gendang Jaga-Jaga esok sehingga penutupnya pada 17 Januari.

    Hari ini, Istiadat Perkahwinan Diraja bagi anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar bermula dengan Istiadat Bersuruh Diraja.

    Dalam pada itu, bendera negara akan dikibarkan di bangunan-bangunan kerajaan, premis-premis perniagaan dan rumah-rumah persendirian manakala pemasangan gerbang akan memeriahkan lagi suasana sambutan perkahwinan diraja.

    Majlis Istiadat Bersuruh Diraja hari ini disusuli dengan Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga manakala Majlis Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-jaga, esok, sebagai pembuka tirai majlis perkahwinan diraja dan majlis-majlis yang berkaitan.

    Majlis tersebut akan berlangsung di Lapau di ibu negara.

    Ia akan diikuti dengan Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja dan Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja pada 10 Januari.

    Perkahwinan diraja diteruskan dengan Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja pada 11 Januari, diikuti Majlis Istiadat Akad Nikah pada 12 Januari.

    Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja akan diadakan pada 15 Januari, diikuti dengan Majlis Persantapan Diraja pada 16 Januari.

    Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga akan diadakan pada 17 Januari bagi menyempurnakan sambutan perkahwinan diraja.

    Istiadat Perkahwinan Diraja itu akan menjadi wadah kelestarian Melayu Islam Beraja (MIB) dengan upacara penuh tradisi dan adab kesopanan Melayu Brunei. Walaupun Brunei merupakan sebuah negara yang progresif, adat dan tradisi yang diwarisi turun temurun masih lagi dipandang tinggi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...