Sunday, April 28, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    KPDNHEP rampas 1,944kg minyak masak bersubsidi

    PUTRAJAYA, 24 JULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 1,944 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM4,860 dalam serbuan di sebuah pasar raya di Kota Warisan, Sepang, Jumaat lepas.

    Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, pihaknya turut merampas beberapa resit berkaitan urus niaga minyak masak bersubsidi dari premis terbabit.

    “Berdasarkan aduan orang awam, premis ini disyaki menyorok minyak masak bersubsidi peket  daripada dijual kepada pelanggan serta wujud perlakuan tidak beretika iaitu penjualan bersyarat dan menyimpan sejumlah minyak masak bersubsidi di stor premis itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Azman berkata berdasarkan aduan, premis terbabit menetapkan syarat agar pembeli membeli barangan keperluan lain bagi membolehkan pembelian minyak masak bersubsidi. Katanya, premis terbabit telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 19, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 atas kesalahan meletakkan syarat-syarat yang menyalahi undang-undang semasa menjual barang kawalan.

    Beliau berkata premis terbabit juga gagal menyerahkan dokumen deklarasi maklumat berhubung keberadaan sebenar bekalan minyak masak bersubsidi kepada pihak penguat kuasa.

    Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 22 (1) AKB 1961, Azman berkata penjual boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi dalam penguatkuasaan akan dikenakan bagi membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna,” katanya. – Bernama

    Azman Adam (kanan) ketika melakukan pemeriksaan bekalan minyak masak di sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Tanjung Pauh Trading & Construction Kawasan Perindustrian Gelang Buluh, Beris Kubor baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...