Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    KPU sahkan kemenangan Prabowo-Gibran di Kuala Lumpur

    JAKARTA, 18 MAC – Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengesahkan kemenangan kepada pasangan calon presiden dan naib presiden Prabowo Subianto – Gibran Rakabuming Raka dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Ini berdasarkan mesyuarat pleno untuk menjumlahkan keputusan kiraan undi nasional di pejabat KPU di Jakarta pada Isnin.

    Pengerusi KPU, Hasyim Asy’ari berkata jumlah kertas undi yang digunakan dalam pilihan raya presiden dan naib presiden sepadan dengan jumlah pengundi di pusat pengundian (TPS) serta jumlah keseluruhan undi sah dan tidak sah yang berjumlah 12,357 undi, menurut agensi berita ANTARA.

    Seorang anggota KPU, Idham Holik berkata pasangan Anies-Muhaimin memperoleh sejumlah 4,674 undi diikuti pasangan Prabowo-Gibran menerima 6,266 undi dan pasangan Ganjar-Mahfud mendapat 1,134 undi.

    Beliau berkata jumlah pengundi yang dicatatkan dalam daftar pemilih (DPT) bagi Pilihan Raya Umum (Pemilu 2024) di Kuala Lumpur ialah 62,217 orang. Daripada jumlah itu, 3,605 orang menggunakan hak mengundi mereka.

    Selain itu, terdapat 1,828 orang yang mengundi daripada Daftar Pemilih Tambahan (DPTb) dan 6,924 orang yang mengundi daripada Daftar Pemilih Khas (DPK).

    “Jumlah pengundi terdiri daripada 7,298 lelaki, 5,059 perempuan dengan jumlah keseluruhan 12,357 orang,” kata Idham.

    Berdasarkan Peraturan No. 3 tahun 2022 KPU, proses penjumlahan undi nasional bagi Pemilu 2024 dijadualkan berlangsung dari 15 Februari hingga 20 Mac 2024.

    Proses pengundian semula Pemilu 2024 bagi seluruh kawasan Kuala Lumpur diadakan pada 10 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. – Bernama

    Gibran Rakabuming Raka (kiri) dan Prabowo Subianto ketika hadir pada program debat anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) di Jakarta Pusat pada tahun lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...