Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Lahir graduan berdaya tahan masa depan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Kemajuan digital telah menjadikan lanskap pengajian tinggi berevolusi yang memerlukan universiti termasuklah Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan institusi-institusi pengajian tinggi lain menyiapkan diri ketika menjalani norma baharu dalam pengajaran, pembelajaran dan penggunaan sumber berkesan.

    Namun dalam keghairahan pembelajaran digital, kecerdasan sosial dan emosi perlu diterapkan kerana selaku pelajar, bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, tetapi juga perlu lengkap dengan nilai-nilai luhur seperti tabah, gigih, beriman, setia dan berani.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen UBD ke-34 di Dewan Canselor, UBD hari ini.

    “Kecerdasan sosial dan emosi ini perlu ditanam dan dibudayakan dari awal pendidikan lagi sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi bagi memastikan pengajian tinggi terus relevan untuk melahirkan graduan yang employable dan future-proof,” tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Sehubungan itu, Baginda percaya kurikulum GenNext UBD dilihat berhasil melahirkan graduan yang diharapkan itu. Namun selaras dengan visi UBD iaitu National Relevance Global Impact, maka sangatlah sesuai jika kurikulum GenNext itu dikaji semula, tekan Baginda.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen ke-34 UBD, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan yang diraikan pada majlis konvokesyen tersebut.

    Untuk itu, Baginda amat mengalu-alukan inovasi dalam penyediaan program mempraktikkan kaedah blended learning, di mana para graduan bukan sahaja akan mendapat segulung ijazah, malahan akan mendapat pensijilan profesional.

    Baginda turut berasa gembira mengetahui bahawa UBD telah pun memperkenalkan satu program baharu, iaitu Bachelor of Applied Artificial Intelligence, yang akan mengambil masa tiga tahun pengajian bermula pada sesi akademik 2022/2023.

    “Beta difahamkan, program ini adalah kolaborasi dengan Coursera, iaitu salah satu penyedia terbesar di dunia bagi kursus-kursus profesional melalui platform dalam talian yang akan membawa pensijilan profesional daripada syarikat ternama seperti Google dan IBM,” jelas Baginda Sultan dalam titahnya.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap semua itu mampu menjadikan para graduan lebih industry-ready, berpeluang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan di dalam dan di luar negara mahupun untuk berdikari mewujudkan peluang pekerjaan.

    Menyentuh mengenai pekerjaan, Baginda Sultan seterusnya bertitah mengambil maklum bahawa Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat UBD telah merangka garis panduan dan peraturan bagi pembelajaran sepanjang hayat di mana kelayakan mikro ataupun micro credentials yang dinamakan micro-bachelor dan micro-master akan diperkenalkan untuk memberi peluang kepada rakyat negara ini meningkatkan kapasiti dan meluaskan peluang kemajuan kerjaya masing-masing.

    Manakala ketika menyentuh mengenai ranking, Baginda memuji subjek Modern Languages di UBD yang telah untuk julung kalinya menduduki kedudukan 300-330 dalam QS World University Rankings by Subject pada 2022.

    Dalam penyelidikan pula, Baginda bertitah mengucapkan tahniah kepada UBD atas peningkatan ketara dalam impak citation penyelidikan bagi Times Higher Education World University Ranking.

    “Beta amat mengalu-alukan penglibatan pihak industri dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam penyelidikan yang menyumbang kepada pembangunan negara,” titah Baginda.

    Baginda turut gembira UBD akan melaksanakan program baharu dinamakan Quranic Journey yang membantu dan memastikan pelajar Islam di UBD pandai dan faham serta cinta kepada Al-Quran, selaras dengan dengan moto UBD, Ke Arah Kesempurnaan Insan.

    Terdahulu, Baginda mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing, serta ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...