Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Laksana agihan kurma lebih baik

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar Muiz Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Bulan Ramadan amat sinonim dengan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang dinanti-nantikan sempena bulan mulia itu.

    Sehubungan itu, bagi memastikan seluruh umat Islam di negara ini tidak ketinggalan untuk menikmati kurma kurnia sebagai juadah berbuka puasa tahun ini, pengurusan bagi pengagihannya mestilah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menekankan perkara itu ketika berkenan bersabda pada Majlis Pengagihan Buah-buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Bulan Ramadan tahun ini kepada wakil-wakil Pasukan Beruniform, Orang Awam, Penjawat Awam (sektor kerajaan) dan Pekerja Swasta yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan di ibu negara, hari ini.

    “Walaupun kita di negara ini masih berdepan dengan penularan wabak COVID, pihak pengurusan Yayasan paduka ayahanda dengan gandingan dan dokongan padu daripada agensi kerajaan dan swasta serta sukarelawan, akan melaksanakan pengagihan kurma kurnia peribadi mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Duli Yang Teramat Mulia turut difahamkan, pada dua tahun yang lalu pihak pengurusan Yayasan telah melaksanakan penambahbaikan proses pengagihan kurma kurnia peribadi dengan mengadakan pusat pengagihan melalui kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan bagi penjawat awam serta pusat pembahagian bagi kakitangan swasta.
    Pihak Yayasan turut meneruskan kelaziman pembahagian melalui penghulu-penghulu mukim atau ketua-ketua kampung bagi orang awam.

    Inisiatif ini membuktikan kelancaran pengagihan di samping menjaga keselamatan pihak terlibat daripada terdedah kepada bahaya jangkitan COVID, sabdanya.

    Duli Yang Teramat Mulia turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan Yayasan kerana melaksanakan amanah yang diberikan oleh Allah.

    Penghargaan yang sama juga ditujukan kepada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pegawai-pegawai daerah, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dan serta agensi kerajaan yang berkenaan termasuk sukarelawan dan rakan-rakan strategik Yayasan serta semua lapisan yang terlibat dalam mengurus dan mengendalikan amanah dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.

    Mudah-mudahan usaha murni yang disumbangkan oleh semua pihak akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah SWT, tambahnya.

    “Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah semoga amalan murni paduka ayahanda ini akan mendapat ganjaran daripada Allah di samping dikurniakan rahmat dan inayah dalam bentuk kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan serta sentiasa di bawah perlindungan dan pemeliharaan Allah,” sabdanya.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengurniakan sabda pada majlis tersebut.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengagihkan kurma kepada wakil pasukan beruniform pada majls pengagihan yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, kelmarin.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...