Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lebih 200 berjaya raih pangkat Mumtaz

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI) selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei telah mengeluarkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), Pra-Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (Pra-STPUB) dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) bagi tahun 1442H / 2021M.

    Menurut kenyataan KHEU, seramai 768 orang calon telah menduduki Peperiksaan SPUB dengan 413 orang calon iaitu 53.78 peratus telah berjaya memperolehi sekurang-kurangnya pangkat Jayyid (kepujian) dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

    Sementara itu, 655 orang calon (85.29 peratus) memperolehi sekurang-kurangnya tiga pangkat Jayyid (kepujian). Daripada jumlah ini, seramai 129 orang calon (16.80 peratus) telah berjaya memperolehi agregat 6 hingga 8.

    Bagi Peperiksaan Pra-STPUB pula, daripada 289 orang calon Pra-U1 yang menduduki peperiksaan itu, seramai 288 orang (99.65 peratus) telah memperolehi sekurang-kurangnya satu pangkat Jayyid (kepujian). Daripada jumlah tersebut, 199 orang calon (68.86 peratus) telah berjaya memperolehi sekurang-kurangnya pangkat Jayyid (kepujian) dalam semua mata pelajaran yang diduduki. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.45 peratus daripada pencapaian calon pada tahun 2020.

    Bagi Peperiksaan STPUB, daripada 258 orang calon yang menduduki peperiksaan itu, seramai 241 orang (93.41% peratus) telah lulus dengan 41.09 peratus daripada calon memperolehi pangkat Mumtaz (cemerlang).

    Calon-calon sekolah yang telah menduduki peperiksaan-peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan itu mulai esok di sekolah masing-masing.

    Calon-calon persendirian pula boleh mendapatkannya di pejabat Bahagian Peperiksaan, JPI di tingkat bawah bangunan KHEU, Jalan Dewan Majlis, Berakas semasa waktu pejabat.

    Manakala itu, calon-calon peperiksaan SPUB yang ingin mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), bolehlah mendaftar menggunakan telefon bimbit dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) nombor pusat peperiksaan (jarak) nombor indeks calon (jarak) nombor kad pengenalan pintar calon dan hantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST atau 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn Bhd.

    Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS. Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar dengan dikenakan bayaran $1 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima.

    Dalam pada itu, calon-calon yang lulus dalam peperiksaan SPUB dan berminat untuk meneruskan pengajian ke peringkat Pra-U di Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), bolehlah mengambil borang pendaftaran kemasukan ke sekolah tersebut mulai 26 April ini pukul 8:30 pagi di SMALHB, KM 2, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

    Tarikh akhir bagi mengembalikan semula borang tersebut ke sekolah berkenaan ialah pada 30 April.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...