Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lebih 300,000 kereta Porsche diserah 2021

    Oleh Syahmi Hassan

    STUTTGART, 17 JAN – Porsche menghantar 301,915 kenderaan kepada pelanggan di seluruh dunia pada tahun fiskal 2021, mencatat peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2020.

    Setiap rantau jualan global menyumbang kepada keputusan tersebut, dengan peningkatan terbesar datang dari benua Amerika, manakala China terus menjadi pasaran tunggal terbesar untuk Porsche.

    “Walaupun menghadapi cabaran disebabkan kekurangan semikonduktor dan pandemik COVID-19, kami telah bekerja keras bagi membolehkan lebih ramai pelanggan
    memenuhi impian mereka untuk memiliki Porsche,” kata ahli Lembaga Eksekutif yang bertanggungjawab untuk Jualan dan Pemasaran di Porsche AG, Detlev von Platen.

    “Permintaan kekal tinggi dan buku tempahan kami kelihatan amat kukuh, jadi kami memulakan 2022 dengan penuh momentum dan keyakinan di semua rantau,” tambahnya.

    Menurut kenyataan yang diterima daripada Porsche, model dengan permintaan tertinggi pada 2021 ialah SUV, dipimpin oleh Macan dengan 88,362 pelanggan. Ini diikuti Cayenne di tempat kedua dengan 83,071 kenderaan.

    Meskipun dengan pelbagai cabaran, Porsche tetap mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan di seluruh dunia. – Gambar serahan Porsche

    Porsche Taycan elektrik pula menyaksikan peningkatan yang luar biasa, iaitu 41,296 unit dihantar, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

    Ikon kereta sport, 911 turut diserahkan kepada lebih ramai pelanggan berbanding sebelum ini dengan 38,464 penghantaran. Panamera menyaksikan 30,220 penghantaran, 718 Boxster dan 718 Cayman telah dihantar kepada 20,502 pelanggan.

    Kenyataan menambah Porsche telah meningkatkan penghantarannya di semua rantau jualan di seluruh dunia, menyaksikan Amerika Syarikat mencatat pertumbuhan amat kukuh, di mana 22 peratus lebih banyak kenderaan dihantar berbanding tahun sebelumnya.

    China kekal sebagai pasaran tunggal terbesar bagi pengeluar kereta sport itu dan merekodkan keputusan keseluruhan yang amat baik pada 2021 dengan peningkatan 8 peratus berbanding 2020. Secara keseluruhan, 95,671 kenderaan telah dihantar kepada pelanggan China.

    Sementara itu, 131,098 kenderaan telah dihantar di rantau Asia-Pasifik, Afrika dan Timur Tengah, iaitu 8 peratus lebih tinggi berbanding 2020.

    Di Eropah, 86,160 kenderaan telah diserahkan kepada pelanggan – 7 peratus lebih tinggi berbanding 2020. Kereta sport elektrik telah menjadi tumpuan, di mana kira-kira 40 peratus daripada kenderaan Porsche yang dihantar di Eropah pada 2021 adalah elektrik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...