Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lebih ramai sembuh daripada COVID

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Sebanyak 16 kes yang telah disahkan positif COVID di Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam kategori 4, manakala, tujuh kes dalam kategori 5.

    Jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 pada ketika ini ialah 8.8 peratus daripada keupayaan rawatan kategori-kategori berkenaan di Pusat Pengasingan Kebangsaan, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa sebanyak 2,010 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini yang membawa jumlah keseluruhan kepada 118,892 orang.

    Daripada jumlah kes baru tersebut, 1,718 adalah hasil ujian pantas antigen (ART) yang telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth manakala 292 adalah hasil 2,501 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    Sementara itu, 5,600 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 94,774 kes dengan 23,984 kes aktif.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan statistik terkini jangkitan COVID di negara ini.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan bahawa pada masa ini, kadar pengisian katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 6.4 peratus.

    “Dalam pada itu, 224 kes aktif sedang menerima rawatan di pusat-pusat pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 23,760 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin, beliau menjelaskan bahawa 59 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini telah menerima tiga dos vaksin manakala kadar satu dan dua dos adalah masing-masing melebihi 94 peratus.

    “Bagi sekatan pergerakan yang dijalankan dari 12 malam semalam hingga 4 pagi tadi, Alhamdulillah, tidak ada pelanggaran arahan telah dikeluarkan denda kompaun di seluruh negara,” kongsi beliau lagi.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk memohon ke hadrat Allah SWT semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada segala mara bahaya, semoga semua rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan daripada segala penyakit khususnya penyakit COVID-19.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...