Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lionel Messi positif COVID-19

    PARIS, 3 JAN – Lionel Messi telah disahkan positif COVID-19 dan telah menjalani pengasingan diri, kelabnya Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkannya kelmarin.

    Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu adalah salah seorang daripada empat pemain PSG yang diuji positif virus itu menjelang perlawanan Piala Perancis menentang Vannes.

    Messi disahkan positif semasa sedang bercuti di kampung halaman, Rosario di Argentina.

    “Dia sentiasa berhubung dengan perkhidmatan perubatan kami. Apabila dia negatif, dia akan dapat kembali ke Perancis,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino pada sidang akhbar.

    Bintang pemain bola Argentina itu mengalami permulaan hidup yang sukar di ibu kota Perancis sejak meninggalkan Barcelona dengan emosional pada musim panas lalu.

    Messi telah menjaringkan satu gol dalam 11 kemunculannya dalam liga untuk PSG, walaupun dia telah menjaringkan lima kali dalam Liga Juara-Juara.

    Dia akan terlepas perlawanan Piala hari ini dan Pochettino berkata dia tidak tahu sama ada dia juga akan diketepikan untuk perlawanan Ligue 1 pertama PSG sejak cuti musim sejuk, di Lyon pada Ahad depan.

    Pemain lain yang diuji positif ialah pertahanan, Juan Bernat, penjaga gol simpanan, Sergio Rico dan pemain tengah remaja, Nathan Bitumazala.

    “Mereka sekarang mematuhi arahan pengasingan dan tertakluk kepada protokol kesihatan yang sesuai,” kata PSG. – AFP

    Lionel Messi diuji positif COVID-19 dan telah menjalani pengasingan diri, kelabnya Paris Saint-Germain mengumumkan pada 2 Januari 2022. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...