Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Mangsa musibah terima bantuan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan KKBS

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Mangsa kejadian rumah roboh dan angin kencang serta atap terbang telah menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Majlis penyerahan bantuan untuk dua ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah roboh dan 12 ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian angin kencang serta atap terbang telah berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS.

    Bantuan telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Menurut kenyataan KKBS, pada 7 Julai lalu, rumah milik Hajah Chuchu binti Haji Abdullah di Kampung Saba Ujong telah roboh sekitar pukul 10 pagi dan menyebabkan rumah milik Dayang Jokiah binti Haji Dollah mengalami kerosakan.

    Semasa kejadian, penghuni sempat keluar dari rumah apabila mendengar bunyi retakan yang kuat sebelum rumah Hajah Chuchu roboh sepenuhnya dan tiada sebarang kecederaan berlaku semasa kejadian.

    Dalam kejadian yang berasingan, hujan lebat berserta angin kencang yang berlaku secara berturut-turut pada 9 dan 10 Julai telah mengakibatkan beberapa buah rumah di kawasan Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong mengalami kejadian atap terbang.

    Tujuh buah rumah di Kampung Pekan Lama, Kampung Bendahara Lama, Kampung Serasa, Kampung Pengiran Setia Negara, Kampung Pandai Besi B dan Kampung Selayun telah mengalami kerosakan dan atap terbang.

    Di Daerah Tutong pula, lima buah rumah di Kampung Penanjong Tutong, Kampung Penapar, Kampung Tumpuan Ugas, Kampung Keramut Danau dan Kampung Kandang telah mengalami kejadian yang sama dan tiada sebarang kecederaan berlaku semasa kejadian.

    Bantuan kewangan yang dihulurkan adalah bagi membantu meringankan kesusahan yang dialami untuk meneruskan kehidupan seharian.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan menyampaikan bantuan kepada wakil ketua keluarga yang menjadi mangsa rumah roboh.
    Pengiran Haji Mohd Hasnan menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa angin kencang atau atap terbang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...