Saturday, April 27, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Masjid sediakan khidmat asuhan kanak-kanak

    KANGAR, 18 MAC – Pihak Masjid Saidina Umar Al-Khattab di sini mengambil inisiatif menyediakan bilik khas di masjid itu untuk perkhidmatan mengasuh kanak-kanak sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan ibu bapa menunaikan solat tarawih.

    Setiausaha masjid itu, Mohd Iqbal Mohd Shariff, berkata tahun ini merupakan kali kedua pihak masjid melaksanakan program Child Care Centre dan mengupah dua orang wanita untuk menjaga kanak-kanak sepanjang Ramadan ini.

    Beliau berkata, perkhidmatan yang disediakan secara percuma itu mendapat sambutan baik daripada ibu bapa dan ia juga antara usaha untuk mengimarahkan dan mendekatkan kanak-kanak pada masjid seiring dengan cogan kata institusi berkenaan iaitu ‘Masjid Untuk Semua.’

    “Kami menyediakan servis kepada ibu bapa yang berhajat ingin datang (bersolat tarawih), kami buat tempat, mereka boleh tinggalkan anak (di masjid itu) dan boleh sembahyang dengan selesa tanpa perlu fikir anak mereka mengganggu orang lain di masjid,” katanya ketika ditemui pemberita di masjid itu.

    Mohd Iqbal berkata, pelbagai aktiviti bermanfaat disediakan untuk kanak-kanak setiap malam yang dikendalikan dua tenaga pengajar di situ antaranya melukis, tayangan video dan slot hafazan doa-doa pilihan.

    Sementara itu, Aleesya Rahmat, 7, berkata dia sangat seronok datang ke masjid bersama ibu bapanya kerana dapat berjumpa ramai kawan dan boleh belajar membaca doa-doa pilihan seperti doa makan selain bermain permainan dengan kawan-kawan.

    Lokman Nur Hakim Muhammad Hanif, 10, yang ke masjid bersama bapanya berkata dia akan menunaikan solat isyak dahulu sebelum menyertai kawan-kawan lain melakukan aktiviti di pusat berkenaan. – Bernama

    Gambar bertarikh 18 Mac ini menunjukkan pihak Masjid Saidina Umar Al-Khattab mengambil inisiatif menyediakan bilik khas di masjid itu untuk perkhidmatan mengasuh kanak-kanak sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan ibu bapa menunaikan solat tarawih. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...