Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Mengaku beri wang setiap bulan

    SHAH ALAM, 18 MEI – Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mengesahkan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa syarikatnya telah menghantar wang tunai setiap bulan dalam mata wang Singapura kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Harry Lee Vui Khun berkata bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir tahun 2014 dengan bayaran sebanyak SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

    “Bayaran SG$200,000 sebulan bermula pada hujung tahun 2014 dan berterusan sehingga pertengahan 2015. Dalam tempoh itu, kami ada pergi ke rumah beliau (Ahmad Zahid) di Country Heights, Kajang dan dalam perjumpaan itu Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) meminta sumbangan bulanan dinaikkan. Selepas berbincang dengan Wan Quoris (Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, Pengarah UKSB) dan David Tan, kami bersetuju untuk (memberi) SG$300,000 sebulan.

    “Kemudian pada 2017, Datuk Seri Zahid meminta untuk berjumpa kami berdua di kediaman peribadinya. Dalam pertemuan itu juga Datuk Seri Zahid meminta bayaran bulan dinaikkan berikutan pilihan raya umum akan diadakan.

    “Selepas berbincang dengan Wan Quoris dan David Tan, kami bersetuju untuk menaikkan bayaran bulanan daripada SG$300,000 kepada SG$520,000 sebulan,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Abdul Malik Ayob pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah.

    Saksi pendakwaan ke-15 itu menambah mereka bersetuju dengan jumlah itu selepas Ahmad Zahid memaklumkan bahagian UMNO memerlukan bantuan kewangan.

    “Dalam perbincangan kami, kami bersetuju untuk membayar sejumlah RM10,000 bagi setiap bahagian iaitu lebih kurang 100 bahagian UMNO dan selepas pengiraan jumlah keseluruhan mencecah SG$520,000 sebulan,” katanya.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau. – Bernama

    Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, bagi perbicaraan kes rasuah. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...