Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Motosikal bertembung, Azhan bedah tulang belikat

    Pelakon, Azhan Rani, 45, pecah tulang belikat dan retak bahu serta rusuk akibat kemalangan ketika menunggang motosikal menuju ke lokasi penggambaran di Rawang, Ahad lalu.

    Azhan berkongsi detik cemas ketika melalui Jalan Templer, apabila dua penunggang motosikal yang didakwa secara tiba-tiba memasuki laluannya dan membuat pusingan ‘U’, hingga mereka bertembung.

    Lebih menggerunkan, dakwa Azhan, dalam kekalutan itu, dua pemandu lori pantas mengelak dan menghentikan kenderaan. Jika tidak, pasti keadaan menjadi lebih buruk.

    Azhan yang berkongsi kemalangan menimpanya melalui entri laman Instagram, pantas mengundang simpati peminat dan rakan artis yang mendoakan agar aktor serba boleh itu segera sembuh.

    Pelakon drama rantaian Nur ini berkongsi perkembangan dirinya yang selamat menjalani pembedahan tulang belikat di sebuah pusat perubatan swasta di Rawang, petang semalam.

    Azhan selamat menjalani pembedahan selama tujuh jam bagi memasukkan dua plat kepada tulang belikat yang pecah. – Agensi

    “Saya hendak kemas kini. Insya-Allah tengahari esok, saya akan dibedah untuk memasukkan plat pada bahagian scapula (belikat) yang pecah.

    “Doktor beritahu proses akan mengambil masa antara tiga hingga empat jam. Kalau ditanya perasaan saya, memang cuak.

    “Tetapi sahabat sebilik ketika menunaikan umrah adalah pakar ortopedik Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Nizam Razli menyatakan prosedur itu tidak menakutkan. Jadi, saya cuba kuatkan diri. Mohon maaf pada semua atas salah dan silap selama ini.

    “Terima kasih atas doa semua. Terima kasih juga kepada semua yang menjaga saya di hospital dengan baik. Terima kasih atas keprihatinan dan kasih sayang semua,” kata pelakon berasal dari Tanjong Karang, Selangor ini.

    Dalam pembedahan itu, doktor difahamkan memasukkan dua plat kepada tulang belikat Azhan yang pecah. Bagi anggota lain yang cedera, Azhan perlu menjalani fisioterapi.

    Azhan yang tidak dibenarkan melakukan kerja berat selama beberapa bulan sehingga pulih sepenuhnya, memohon maaf kerana tidak dapat melayan panggilan telefon dan mesej. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...