Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Muzakarah kongsi maklumat, isu dan cadangan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Dengan matlamat untuk berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan serta cadangan yang boleh memberikan manfaat dalam usaha meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Sesi Muzakarah Bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Seramai 19 orang ahli MMN menghadiri sesi muzakarah berkenaan dengan rombongan diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

    Hadir semasa sesi muzakarah berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, para pengarah serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

    Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyatakan harapan mereka akan sama-sama memberikan idea-idea yang berwawasan dengan tidak hanya menumpukan kepada isu-isu semasa malah bagi untuk mempelopori bidang-bidang yang boleh diusahakan untuk dicapai di masa akan datang.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan bersama ahli-ahli MMN dalam sesi muzakarah di antara Kementerian Kesihatan dan Majlis Mesyuarat Negara semasa sesi bergambar ramai. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Kita hendaklah berpandangan jauh ke depan dan setentunya menyejajarkan pemikiran dengan matlamat-matlamat yang ingin kita capai di dalam Wawasan Brunei 2035.”

    Yang Berhormat Dato menyatakan lanjut, “Berdasarkan kepada data dan maklumat yang ada pada masa ini, kita tidak harus merasa selesa atau berpuas hati.

    Kita harus memastikan jaringan keselamatan sosial dan ekonomi akan sentiasa terjamin di Negara Brunei Darussalam yang kita cintai.”

    Semua itu akan dapat dicapai jika semua pihak menjalankan peranan dan memikul tanggungjawab masing-masing dengan minda yang terbuka, inovatif dan pandangan luas, di samping memelihara kedaulatan raja dan nilai-nilai beragama.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa dalam ucapan balasnya menyatakan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan atas usaha yang tidak pernah putus-putus dalam memastikan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam adalah dalam keadaan sihat dan dijauhkan daripada wabak COVID-19.

    Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga tidak pernah kendur-kendur dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dari segi lain iaitu kesihatan mental, kanser, penyakit-penyakit tidak berjangkit juga terus diberikan perhatian.

    Yang Berhormat Dayang Khairunnisa berkata lagi bahawa dalam masa dua tahun kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan bukan sahaja menjadi petugas barisan hadapan dalam menangani COVID-19 namun juga berada di hadapan dalam mengongsi maklumat dengan telus melalui sidang media yang sering diadakan.

    “Namun masih banyak perkara yang menjadi kemusykilan pihak orang ramai dan diharapkan kemusykilan yang disuarakan kepada ahli-ahli MMN akan dapat dibincangkan pada muzakarah ini,” tambahnya.

    Beliau berkata, ahli-ahli MMN akan membantu dengan sedaya-upaya bagi menyampaikan maklumat dan mengurangkan kekeliruan orang ramai.

    Sesi muzakarah kemudian diteruskan dengan sesi soal jawab di antara ahli-ahli MMN dengan pihak Kementerian Kesihatan di mana sesi yang diadakan dalam suasana silaturahim, muhibah dan terbuka itu dihasratkan untuk berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan dan cadangan yang akan memberi manfaat kepada kementerian dalam usahanya untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan demi kesejahte-raan rakyat dan penduduk negara ini.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...