Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Dukung pelancongan domestik

    Oleh Nurdiyanah R.

    Melancong dapat diumpamakan sebagai terapi mujarab kepada sesiapa sahaja yang ingin menenangkan fikiran dan penat lelah setelah berdepan kesibukan kerja seharian.

    Namun yang pasti motif melancong bergantung kepada individu berkenaan sama ada pelancongan tersebut bertujuan untuk melapangkan fikiran, meluaskan pandangan, menambah ilmu pengetahuan atau sekadar untuk bersantai dan membeli-belah.

    Dukung pelancongan domestik

    Apabila menyentuh tentang pelancongan, pandemik sebenarnya telah memberi ruang dan peluang untuk kita mengenali lebih mendalam lagi tentang budaya, warisan yang belum kita terokai sepenuhnya di keempat-empat daerah.

    Sehubungan itu, sebagai salah satu strategi untuk menyokong sektor pelancongan domestik, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menerusi Jabatan Kemajuan Pelancongan telah melancarkan pakej-pakej produk pelancongan Temburong pada majlis yang berlangsung di The Abode Resort and Spa, Daerah Temburong, baru-baru ini.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong semasa hadir merasmikan pakej produk pelancongan Daerah Temburong antara ucapan alu-aluannya menyentuh sejak langkah pengawalan diperketatkan disebabkan gelombang kedua penularan wabak COVID-19 di negara ini Ogos lalu, Jabatan Kemajuan Pelancongan telah mengambil inisiatif untuk meneliti semula dan seterusnya mengenal pasti produk-produk dan aktiviti-aktiviti pelancongan yang dapat dipakejkan bagi keempat-empat daerah.

    Lawatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali di sekitar Abode Resort and Spa, baru-baru ini.
    Brosur bagi pakej produk pelancongan Daerah Temburong yang dilancarkan baru-baru ini.
    Telur masin terkenal sebagai salah satu produk tempatan menerusi program 1K1P di daerah tersebut.
    MPK Batu Apoi juga mengetengahkan variasi jenis biskut ambulong.

    Jelasnya lagi, beberapa brosur telah dihasilkan yang mengandungi maklumat mengenai pakej-pakej produk pelancongan bagi keempat-empat daerah.

    Pakej-pakej tersebut merupakan sample itineraries yang mana harga pakej tidak termasuk kos penginapan, makan minum, pengangkutan dan bayaran perkhidmatan ejen pelancongan.

    “Ini bertujuan untuk memberikan harga indikatif minimum serta fleksibiliti kepada para pengunjung bagi memilih aktiviti atau perkhidmatan tambahan mengikut cita rasa masing-masing.

    “Dengan adanya pakej seumpama ini diharap dapat membantu pengunjung untuk merancang perjalanan sendiri, walau bagaimanapun penggunaan perkhidmatan ejen pelancongan adalah disarankan bagi memastikan pengalaman percutian yang selamat, lancar dan teratur,” ujarnya lanjut.

    Resort miliki nadi semula jadi

    Terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’, Daerah Temburong semakin terserlah dalam mengetengahkan produk-produk pelancongan sehingga berupaya menjadi tarikan bagi orang ramai yang gemar jalan-jalan dalam negara, lebih-lebih lagi dengan berdirinya kemudahan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.

    Dalam pada itu, program lawatan suai kenal bagi para pengamal media dan agensi pelancongan turut diadakan sejurus majlis pelancaran berkenaan di mana penulis bersama rombongan yang lain berpeluang menerokai kemudahan The Abode Resort and Spa. The Abode Resort & Spa memiliki 10 buah penginapan unik berkonsepkan safari dikelilingi dengan keindahan panorama alam semula jadi penuh kehijauan yang terletak di pinggir Sungai Labu.

    Variasi sentuhan produk asli

    Di samping itu, kami berpeluang menyaksikan variasi produk dan perkhidmatan majlis perundingan kampung (MPK) di Daerah Temburong di Kompleks Utama Bumiputera Temburong, Pekan Bangar dan dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan.

    Daerah Temburong ini sememangnya tidak asing lagi dengan penghasilan telur masin sebagai salah satu produk tempatan menerusi program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) mereka. Lebih 30 orang ahli MPK Puni dan Ujong Jalan telah mula menjalankan pemeliharaan itik penelur sekitar penghujung tahun 2009 dan sekali gus menjadikan sebagai produk telur masin sebagai salah satu produk 1K1P di daerah berkenaan.

    Kini mereka telah berjaya bersama-sama mengusahakan dan menghasilkan telur masin untuk dikomersialkan bukan hanya bagi memenuhi permintaan di dalam daerah bahkan juga di luar daerah.

    Begitu juga kegigihan ahli-ahli Biro Wanita MPK Belais dan Buda-Buda, daerah berkenaan dalam perusahaan produk bawang goreng mereka yang telah menjadikannya salah satu platform untuk meningkatkan perekonomian diri dan keluarga dari semasa ke semasa. Selain itu, MPK Batu Apoi juga mengetengahkan variasi jenis biskut ambulong.

    Selami keindahan tradisi dan budaya

    Menariknya di Mukim Amo, Rumah Panjang Kampung Sibut juga dilihat sebagai pusat tarikan pelancong iaitu menerusi perkhidmatan inap desa kepada para pengunjung dalam dan juga luar negara.

    Dikenali dengan nama Lubuk Batu Mas Homestay, rumah panjang berstruktur dua tingkat iaitu separa kayu pada bahagian atas dan konkrit di bahagian aras bawahnya kini semakin menjadi salah satu tempat destinasi tarikan pelbagai pengunjung yang bukan hanya terdiri daripada masyarakat tempatan bahkan juga mereka dari luar negara antaranya negara-negara ASEAN, China, Australia dan New Zealand.

    Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 30 minit dari Pekan Bangar, rumah panjang yang memiliki 15 buah pintu bilik utama dan dihuni oleh lebih 90 orang ahli keluarga secara keseluruhannya merupakan pembinaan kali kedua pada tapak yang sama.

    Rumah panjang atau dalam Bahasa Iban disebut ‘rumah panjai’, merupakan satu cerminan identiti masyarakat Iban. Kewujudannya menjadi khazanah warisan sehingga bersemadinya semangat perpaduan dan keharmonian dalam menjalankan kehidupan harian di bawah satu bumbung.

    Apabila awda berkesempatan menjejakkan kaki di sini, pastinya awda akan dapat merasai dan menyaksikan suasana masyarakat yang sentiasa bersatu padu dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain apabila menetap di bawah satu bumbung. Pastinya penghuninya terdiri daripada mereka yang mempunyai pertalian darah. Itulah simbolik dan keunikan rumah panjang ini sehingga menjadi identiti khazanah tradisi daripada satu generasi ke generasi penerus.

    Saksikan keindahan alam

    Para pencinta alam semula jadi dan aktiviti lasak, berpeluang untuk melakukan aktiviti pendakian bukit untuk sampai ke salah sebuah wasai di Daerah Temburong yang dikenali dengan Wasai Batu Putih Buda-Buda. Perjalanan menuju wasai dengan merentasi hutan yang terletak di Kampung Buda-Buda di bawah Mukim Bokok memakan masa hampir dua jam untuk naik dan turun bukit-bukau yang mencabar fizikal, lebih-lebih lagi dengan keadaan permukaan tanah yang berliku-liku.

    Bagi penggemar haiwan, juga dinasihatkan untuk tidak melepaskan peluang mengunjungi Taman Mini Zoo, Batang Duri yang juga merupakan destinasi wajib dikunjungi ketika berada di Daerah Temburong. Di sana, sambil berjalan-jalan santai para pengunjung dapat melihat pelbagai spesies haiwan termasuk mamalia, reptilia, dan burung yang pastinya mampu menambahkan pengetahuan tentang haiwan-haiwan yang terdapat di negara ini.

    Promosi potensi tarikan pelancong

    Adapun pelancaran pakej-pakej produk pelancongan berkenaan juga dihasratkan untuk mengukuhkan pelancongan utama negara dan sekali gus memperkenalkan produk baharu yang memiliki potensi bagi dibangunkan sebagai tarikan pelancong.

    Menerusi pakej-pakej produk pelancongan berkenaan, ia bermatlamat untuk mempromosikan tempat-tempat menarik yang menawarkan perkhidmatan experiential tours yang menggabungkan kesemua produk utama dan juga ciptaan baharu khususnya mukim-mukim perundingan kampung.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk membantu pihak berkepentingan pelancongan secara menyeluruh seperti perhotelan, pemandu pelancong, agensi pelancongan dan penyedia perkhidmatan pelancongan dalam menyediakan jadual perjalanan yang inklusif dan fleksibel.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...